DISEBABKAN faktor usia, penyanyi Adibah Noor mendedahkan dia kini mengamalkan diet seimbang demi menjaga tubuh badannya agar kelihatan sentiasa sihat sepanjang masa.
Malah, menerusi kaedah itu juga dia berjaya menurunkan berat badan dalam masa dua bulan. Pun begitu, penyanyai Terlalu Istimewa itu enggan mendedahkan jumlah penurunan kilogram.
“Sudah tiba masanya saya menjaga kesihatan sebab faktor usia. Kalau dahulu boleh makan nasi lemak tiga bungkus, sekarang hanya satu sahaja.
“Mula-mula memang susah nak amalkan namun sekarang sudah biasa. Saya juga amalkan senaman ringan dengan berjalan-jalan sekitar kawasan rumah sahaja.
“Saya jauhkan minuman bergula dan hadkan makan enam suap sahaja setiap kali makan. Selain itu, saya tidak ambil makanan yang diproses. Kalau beli burger di tepi jalan saya akan cari gerai yang membuat dagingnya sendiri dan bukan telah diproses.
“Saya akan cari makana yang dimasak segar dan tidak menggunakan makanan yang diproses atau dalam tin,” katanya menurut laporan mStar.
Semalam (Rabu), Adibah,52, mencuri perhatian ramai apabila gamnbar yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya itu mendapat pujian ramai.
Rata-rata pengikutnya kagum dan teruja dengan perubahan bentuk badannya yang kelihatan kurus berbeza dengan penampilannya sebelum ini.

