Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

PENINGKATAN mendadak permohonan dan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) menjadi punca berlaku kesesakan luar biasa di pejabat Imigresen terutama di kawasan Lembah Klang.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, urusan permohonan dan pembaharuan PMA meningkat mendadak sebanyak 65 peratus ketika ini.

Hal itu sekaligus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan berlaku kekurangan bekalan pasport sehingga menyebabkan berlaku kesesakan di pejabat Imigresen.

Khairul Dzaimee berkata, Jabatan Imigresen mempunyai bekalan pasport lebih 1.2 juta yang mampu menampung peningkatan mendadak permohonan serta pembaharuan PMA.

“Bekalan pasport mencukupi dan kita ada lebih 1.2 juta pasport dalam stor. Kalau habis, pembekal akan tambah lagi.

“Antara faktor berlaku kesesakan di pejabat Imigresen adalah kerana ramai pemohon hadir serentak pada sebelah pagi untuk urusan membuat PMA,” katanya memetik laporan Bernama.

Baca artikel berkaitan: Imigresen lanjut waktu operasi, kaunter khas jemaah jemaah haji

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, waktu pengoperasian di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen turut dipanjangkan hingga 10 malam.

Jelas beliau, enam lagi pejabat pengeluar pasport pula dilanjutkan hingga 6 petang sejak 11 Mei lepas.

“Enam premis yang dipanjangkan waktu operasi hingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan hingga 6 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut menasihatkan orang ramai untuk memohon dan memperbaharui PMA di pejabat Imigrsen di luar kawasan Lembah Klang sempena cuti persekolan ketika ini.

Katanya, antara pejabat Imigresen yang tidak sibuk seperti Putajaya atau Shah Alam adalah di Perlis, Kedah, Kuantan dan Terengganu.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan yang mereka benar-benar mempunyai keperluan seperti urusan rasmi kerja dan melancong bagi memohon atau memperbaharui PMA.

“Jika tidak ada keperluan, tidak perlu buat pasport lagi…kadang-kadang saya tanya 10 orang yang buat pasport, enam beri jawapan tidak tahu lagi,” ujar beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram