PENYANYI Datuk Hattan sebak apabila mendengar lagu Teguh dinyanyikan oleh vokalis band rock Search Denden Gonjalez ketika hadir menonton konsert kumpulan itu di Kompleks Campbell, semalam.
Menurut Hattan,57, dia sudah lama tidak mendengar susunan muzik yang disifatkan cukup hebat dan mengagumkan dirinya selaku rakan artis.
“Saya dah lama tak dengar muzik macam ni. Saya akui memang ‘sound’ Search ada pada dua beradik ini iaitu Din dan Kid.
“Sebaik sahaja saya dengar petikan gitar Din memainkan lagu Teguh, saya sebak seperti nak menangis.
“Namun saya sangat seronok. Memang saya rindu nak melihat Din dan Kid beraksi dan saya secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati.
“Kunci ‘sound’ Search memang ada pada Din dan Kid. Itu tiada siapa boleh sangkal dan nafikan. Memang berbaloi datang dan ‘layan’ konsert ini sampai habis,” katanya kepada URTV.
Hattan ditemui pada sidang media usai Konsert Search Rockin On Rooftop berakhir, semalam.
Dalam pada itu, Hattan berharap kehadiran Denden dalam kumpulan legenda itu akan lebih memberi impak kepada peminat lama dan baharu.
“Denden menyanyi sangat sedap. Tona suara dia memang ‘melekat’ dalam jiwa dan sangat ‘sesuatu’. Awalnya saya lihat dia seorang yang pemalu sebab saya ada juga datang melihat mereka buat latihan.
“Tapi bila tengok dia berada di atas pentas, memang berbeza dan dia mampu menguasai konsert tersebut dengan baik.
“Harapnya Search terbang tinggi hingga ke negara seberang. Saya percaya kalau mereka keluar album penuh, boleh meletup dan ia boleh merentasi pasaran Indonesia kerana penyanyinya berasal dari sana.
“Sebelum ini saya ada berbual dengan komposer dan penyanyi Datuk M.Nasir, kami mencadangkan jika Search keluar album, mesti lagu mereka sedap.
“Apa yang lagi saya harapkan daripada kumpulan ini ialah agar mereka akan buat konsert jelajah satu hari nanti. Peminat mereka merata-rata tempat,” ujarnya.
Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu dihadiri lebih 3,000 peminat yang seronok ‘melayan’ 17 buah lagu yang dipersembahkan.
Selain Denden, Kidd, Din, Search turut dianggotai oleh Minn dan Yann.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

