PERKAHWINAN penyanyi terkenal Britney Spears dengan Sam Asghari yang berlangsung pada Jumaat baru-baru ini dikejutkan dengan insiden pencerobohan oleh bekas suaminya yang menyebabkan dia mengalami serangan panik sebelum majlis berlangsung.
Namun begitu, Britney tetap mengungkapkan rasa gembiranya setelah majlis perkahwinannya itu dihadiri rakan selebriti antaranya Drew Barrymore, Selena Gomez, dan Paris Hilton.
“Saya sangat gementar sepanjang pagi tapi pukul 2 petang benar-benar mengejutkan saya… saya alami serangan panik dan kemudian dapat kawal.
“Semua orang yang terlibat dalam majlis saya hebat. Majlis itu seperti impian menjadi kenyataan. Ramai orang hebat datang ke majlis perkahwinan kami dan saya masih terkejut.
“Malah idola saya Drew Barrymoore dan Selena Gomez yang sangat cantik juga datang. Saya tak terkata,” kata Britney.
Jason Alexander yang merupakan bekas suami kepada penyanyi tersebut dilihat merakam dirinya sebelum menceroboh masuk ke dalam majlis yang sedang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat itu.
Dia akhirnya ditahan polis Ventura County namun belum ada pertuduhan yang ditetapkan ke atas lelaki tersebut.
Untuk rekod, Jason dan Britney mendirikan rumah tangga pada 2004 namun hanya bertahan selama 55 jam sahaja.
Kemudian, hubungan Britney dan Sam bermula setelah mereka bersama-sama terlibat dalam rakaman muzik video Slumber Party pada 2016.

