PELAKON cantik, Azira Shafinaz memilih untuk mengelak daripada memberi reaksi kepada netizen yang mencemuh tentang penampilannya yang kian seksi.

Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan, meluahkan kerisauan sekiranya dia tampil memberi komen balas terhadap perkara tersebut ia akan disalah ertikan.

“Saya tak ada nak komen apa-apa. Perkara ini sensitif. Cakap salah, tak cakap pun salah.

“Minta maaf sangat. Pasal isu ini, nanti orang salahkan saya semula. Lebih baik saya tak kata apa-apa tentangnya,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Dalam perkongsiannya baru-baru ini di media sosial, rata-rata netizen mula mempersoalkan penampilan penyanyi kumpulan DeFam itu yang kini semakin hari semakin seksi sehingga ada yang meluahkan rasa kecewa dengan perkara tersebut.

Menjengah ke ruangan komen perkongsian di Instagram pelakon berusia 30 tahun itu, netizen meminta dan menasihatkan agar dia tidak lagi berpakaian terlalu seksi.

Dalam pada itu, Azira turut memberitahu bahawa dia akan tetap membaca komen-komen pengikutnya tidak kira yang baik mahupun buruk.

“Tentunya ada orang sokong dan ada juga yang tak sokong kita. Saya selalunya ambil yang negatif dan jadikannya sesuatu positif.

“Saya tak boleh abaikan (komen negatif). Kalau buat tak kisah, ia seperti saya tidak terima kelemahan sendiri.

“Tapi kalau komen-komen melampau itu saya abaikan. Kalau dilayan, tak ke mana. Mereka ini ‘jaguh siber’. Kita buat hal sendiri sahaja,” katanya.

Untuk rekod, Azira memulakan karier lakonannya pada tahun 2012 dengan melakonkan watak sampingan dalam drama Dan Bila Esok di TV3.