Beri tekanan ke atas India, roboh rumah Muslim persis rejim Zionis

Dari Penulis

TINDAKAN India menggantung tugas dan memecat dua jurucakap parti Bharatiya Janata (BJP), susulan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW mungkin dianggap menyelesaikan ketegangan hubungan diplomatik antara New Delhi dan negara-negara Islam, bulan lalu.

Sejak kontroversi itu tercetus, penduduk Islam seluruh dunia termasuk dari dalam India mengadakan protes membantah kenyataan berkenaan manakala negara-negara Islam menyatakan bantahan kepada diplomat New Delhi.

Namun, tindakan itu dilihat mendatangkan implikasi sebaliknya kepada 200 juta umat Islam India yang merupakan golongan minoriti mewakili 15 peratus populasi manakala Hindu 79 peratus.

Protes besar-besaran di seluruh India minggu lalu, menyaksikan dua penunjuk perasaan terbunuh manakala ratusan lain ditangkap oleh pihak berkuasa di Uttar Pradesh dalam tindak balas kerajaan.

Ibarat balas dendam, pihak berkuasa India minggu ini merobohkan kediaman beberapa individu selepas didakwa terlibat dalam himpunan berkenaan.

Tindakan persis dilakukan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin yang didakwa menyerang penduduk dan negara haram itu sekali gus menyaksikan ketiadaan toleransi agama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi sudah cukup lama tidak dicabar.

Menurut Jurucakap Amnesty, Aakar Patek, pihak berkuasa secara selektif dan kejam menyerang umat Islam yang berani bersuara bagi menentang diskriminasi yang dihadapi oleh mereka.

“Membanteras penunjuk perasaan dengan menggunakan kekerasan yang berlebihan, penahanan dan merobohkan rumah sewenang-wenangnya, adalah melanggar sepenuhnya komitmen India di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Sejak kembali berkuasa pada 2014, India melaksanakan dasar diskriminasi terang-terangan terhadap umat Islam termasuk Mac lalu, apabila negeri Karnataka melarang pelajar perempuan sekolah memakai hijab.

Kerajaan turut mencadangkan undang-undang yang memberikan kewarganegaraan lebih cepat kepada pelarian di India, namun tidak terpakai kepada mereka yang beragama Islam.

Selain itu, kerajaan juga meluluskan undang-undang yang menjadikan perkahwinan antara agama menjadi lebih sukar.

Amerika Syarikat (AS) yang dilihat lantang memperjuangkan isu hak asasi manusia termasuk dalam kes etnik Uighur di Xinjiang mungkin sudah boleh mempertimbangkan langkah serupa ke atas India.

Tekanan segera harus diberikan White House agar tidak dituduh memilih bulu dalam melaksanakan tindakan dan sekatan ke atas negara bukan proksinya.

Malah negara-negara Islam juga boleh mengambil langkah serupa ke atas New Delhi agar tidak mengamalkan diskriminasi agama keterlaluan ke atas golongan minoriti.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Dua remaja ditahan langgar anggota polis, cuba lari sekatan jalan

DUA remaja ditahan selepas dipercayai merempuh seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan di Taman Panchor...

More Articles Like This