AHLI Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin meminta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) mengkaji terlebih dahulu sebelum menyertai industri ternakan ayam kerana ia dikatakan mempunyai risiko tinggi dan boleh merugikan.
Penyertaan ke dalam ekosistem industri penternakan ayam dilihat memberi risiko kepada ahli disebabkan “kesesakan” dalam industri dan margin keuntungan yang tipis.

Menyifatkan sektor tersebut sebagai “lautan merah”, Ahli Parlimen yang juga jurucakap Parlimen PKR bagi pertanian dan komoditi itu berkata, sudah wujud ramai pemain dalam industri itu dan harga ayam pula kekal rendah selama puluhan tahun.
“Rakyat berkehendakkan harga ayam rendah, maka kawalan harga oleh kerajaan selalunya menyebabkan kerugian kepada para penternak,” kata Sim dalam kenyataan, memetik laporan FMT.
Selain itu, bekalan domestik kini mencecah 105 peratus Kadar Sara Diri dan ini mengakibatkan tidak wujud pasaran baharu, katanya.
Pada 14 Jun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Nafas dan Angkasa akan lebih proaktif dalam ekosistem ternakan ayam dan penanaman jagung bijirin bagi menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran.
Katanya, Nafas menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor setahun.
Sim berkata, sebagai dua pertubuhan koperasi terbesar negara, Nafas dan Angkasa akan menggunakan ratusan juta wang caruman dan ahlinya mengharapkan pulangan lumayan daripada pelaburan itu.
BERITA BERKAITAN Harga ayam dijangka naik bila diapungkan bulan depan
“Kemasukan Nafas dan Angkasa tidak semestinya membawa keuntungan yang dijangkakan, malah mungkin menghadapi kerugian,” katanya.
“Maka saya ingin menasihati Nafas dan Angkasa agar membuat kajian secara terperinci terlebih dahulu demi kepentingan jutaan ahli mereka.”
Sementara itu, Nafas dikatakan telah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu, yang sebelum ini ditanam dengan tembakau, bagi tanaman jagung bijirin.
Angkasa pula mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Mengulas perkara itu, Sim berkata, koperasi berkenaan mungkin akan mendapat pelbagai kemudahan lain daripada kerajaan seperti subsidi, geran dan faedah pinjaman rendah, namun ini dijangka akan menjejaskan petani kecil.
“Mereka (petani kecil) mungkin akan tutup kedai kerana tidak berupaya untuk bersaing,” katanya.
“Penternak harus dilihat sebagai benteng sekuriti makanan negara. Kita harus menjaga mereka,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan semula penglibatan kedua-dua koperasi tersebut dalam industri penternakan ayam.
“Ada banyak lagi sektor pertanian yang memerlukan perhatian kerajaan. Antaranya tanaman padi (SSR 70%), penternakan ruminan (SSR 20%), lembu tenusu (SSR 50%) sektor penanaman sayur-sayuran (SSR 60%), akuakultur dan banyak lagi.
“Penglibatan Nafas dan Angkasa (dalam industri tersebut) sangat dialu-alukan. Ia akan membantu mengurangkan kebergantungan import makanan dari luar negara,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

