PELAWAK Korea Selatan, Jang Dong Min berkongsi berita gembira apabila dia kini bergelar bapa kepada seorang bayi perempuan.

Menerusi perkongsian di Instagram, Dong Min,42, turut berkongsi foto anak sulungnya itu dan meluahkan rasa teruja serta gembira atas kelahiran cahaya matanya itu.

“Saya berada di ruang menunggu hospital dan ketika itu saya terdengar suara menangis yang kuat dan saya mengetahui itu adalah suara bayi perempuan saya.

“Saya akan menjaga dia dengan baik dan sihat. Akhirnya, saya bergelar bapa. Sayangku, Treasure (nama bayi). Ayah sayang kamu.

“Bayi dan emaknya kedua-dua sihat. Terima kasih,” tulisnya pada kapsyen.

Difahamkan, Treasure dilahirkan sekitar pukul 2.06 petang pada 17 Jun lalu.

Menjengah ke ruangan komen, rakan-rakan artis serta pengikutnya turut mengucapkan tahniah dan mendoakan kesejahteraan Dong Min serta keluarganya.

“Tahniah,” komen Haha atau nama sebenarnya Ha Dong-hoon.

“Saya pun tak sabar bergelar ibu. Tahniah kepada awak sekeluarga,” tulis Kim Ga Yeon.

“Tahniah, abang. Saya harap dia akan membesar dengan sihat,” komen Moon Se Yoon.

Untuk rekod, Jang Dong Min dan isterinya mendirikan rumah tangga pada 19 Disember 2021.