GARA-gara berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk badan, pelakon dan pempengaruh media sosial, Noreen Iman teruk dikecam netizen selepas video yang dimuat naik di TikTok tular.
Mengakui kekhilafannya dalam berpakaian, Norreen atau Norreen Iman Abdullah menerima teguran dan nasihat yang diberikan kepadanya.
Malah, Norreen turut mengucapkan terima kasih kepada individu bernama Adam Daniel yang menegur dirinya dengan kata-kata yang positif.
Menurut pelakon Bisik-Bisik Gelora itu, dia cuba meningkatkan keyakinan diri dengan memakai pakaian wanita kerana sebelum ini apabila menjadi pengacara atau berlakon dia tidak dapat lari daripada imej dan gaya lelaki.
“Saya tahu saya silap dalam video ini, saya memakai baju yang menampakkan saya ini wanita. Sebab bila saya bekerja, kebanyakkan pakaian saya seperti lelaki.
“Tipulah kalau saya tiada rasa ‘insecurities’. Keyakinan (Confident) itu ada tapi insecure pun ada dari segi badan yang besar. Jadi bila saya bekerja pakaian saya biasanya blazer, baju lengan panjang, memang macam jantan.
“Cuma sejak beberapa hari ini, saya bercakap pada diri sendiri, saya nak tukar penampilan sebab ada yang tegur asyik pakai seluar dan blazer saja.
“Saya nak nampakkan Norreen ini ‘gegirl’, nak mencuba. Salah ke nak mencuba jadi ‘gegirl’. Mungkin baju itu memang fit dekat badan saya tetapi masa kerja memang saya pakai jaket dekat perut, tutup punggung,” ulas Norreen.
Tambah Norreen lagi, dia turut berpesan kepada warganet di luar sana agar tidak mengaitkan suami dan anak-anaknya dengan kontroversi dan kecaman yang melibatkan dirinya.
“Lagi satu, tak perlu nak libatkan suami saya dalam hal ini. Suami saya memahami, aku hormat dia, dia juga hormat aku, aku sayang dia, dia juga sayang aku. Dia tahu kerja aku macam ini dan aku selalu bertanya dekat dia boleh tak pakai baju begini.
“Pasal anak, satu benda yang saya tak setuju, awak bercakap pasal anak saya. Awak cakap saya tak malu ke dengan anak-anak, apa maksud awak, anak saya akan malu dengan saya? Awak nampak saya di media sosial, tidak bermakna saya begitu bersama anak-anak saya. Tapi diorang memang tahu mak dia ni gila-gila.
“Saya minta maaf kalau jadi terlalu yakin dengan bentuk badan saya,” ujarnya lagi.
Dalam video yang dikongsikan sebelum ini, Norreen melakukan tarian di Tiktok bersama rakan produksinya Daniel Cheang dengan berpakaian ketat sehingga mengundang pelbagai reaksi warganet di ruangan komen.
Sehingga artikel ini ditulis, video terbabit sudah meraih lebih 1 juta tontonan. Manakala, video penjelasan Norreen susulan aksi tariannya mengundang kontroversi itu mencatat hamppir 2 juta tontonan.

