Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika hadir ke perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya berurusan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai operasi dan hal ehwal syarikat itu.

Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ketika proses perbincangan dan penukaran saham Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada MKD pada 2009.

TIA ditukar secara rasmi kepada 1MDB pada 2009.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri tersebut berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

Saksi itu berkata pengurusan 1MDB tidak memberikan kerjasama serta enggan berbincang mengenai Memorandum dan Artikel Pertubuhan syarikat (M&A) 1MDB yang tidak sama dengan syarikat lain di bawah MKD selain terdapat pindaan tanpa kebenaran.

“Ada PM di belakang mereka, kerana itu mereka beritahu hanya berurusan dengan PM,” katanya.

Muhammad Shafee: Bagaimana awak dapat idea bahawa PM di belakang mereka? Siapa yang beritahu awak mengenai perkara ini?

Siti Zauyah: Shahrol Azral beritahu saya… beliau enggan membincangkan perkara berkaitan M&A.

Saksi itu berkata beliau memaklumkan isu M&A 1MDB kepada Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah namun dimaklumkan bahaawa Ahmad Husni tidak mahu terbabit dalam perkara tersebut.

Selain Ahmad Husni, Siti Zauyah berkata beliau berbincang mengenai isu M&A 1MDB dengan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang turut memberitahunya supaya tidak melakukan apa-apa tindakan dalam hal berkenaan.

Sebelum ini, Ahmad Husni memberitahu mahkamah beliau diminta oleh Najib supaya tidak campur tangan mengenai perancangan pelaburan 1MDB dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak PetroSaudi International Ltd (PSI).

Baca: 1MDB: Kes Roger Ng ditangguh sementara tunggu hukuman di AS 13 Sept

Ahmad Husni turut memberitahu mahkamah mengenai kebimbangan beliau dengan keadaan negara dan Najib berikutan penubuhan 1MDB sehingga menghantar surat peribadi kepada Ahli Parlimen Pekan itu pada Ogos 2010.

Siti Zauyah dalam keterangannya sebelum ini memaklumkan bahawa klausa Artikel 117 M&A 1MDB yang menyatakan lantikan dan penyingkiran mana-mana pengarah syarikat itu tidak akan berkuat kuasa tanpa mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri dan tidak dirujuk kepada MKD ketika proses perbincangan dan penukaran saham TIA kepada pihak MKD.

Klausa Artikel 117 M&A 1MDB juga menetapkan sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan) dan penstrukturan semula yang berkemungkinan menjejaskan jaminan oleh kerajaan bagi faedah syarikat dan kepentingan serta keselamatan negara memerlukan kelulusan bertulis Perdana Menteri.

Beliau berkata pihaknya juga tidak tahu bagaimana Klausa 117 itu dimasukkan kerana ia disediakan lebih awal oleh Setiausaha Syarikat 1MDB sebelum dipindah milik kepada MKD.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

— BERNAMA