RAFFA Affar, pemuda dari Jawa Barat Indonesia, adalah satu nama popular dalam media sosial dengan hampir 4 juta pengikut di aplikasi TikTok kini merakamkan semula lagu Tiara yang pernah menjadi siulan pada tahun 90-an, dendangan kumpulan Kris.
“Lagu ini sangat dekat dalam hati saya dan rasa bahagia dapat menyanyikan semula lagu ini,” kata Raffa apabila ditanya mengapa memilih lagu tersebut.
Lagu Tiara yang dahulunya adalah lagu ‘slow rock’, telah dibawakan oleh Raffa dengan cara dan gayanya sendiri.
Selain lagu singlenya Cinta Sampai Mati yang tular di TikTok, Raffa terkenal juga dengan suaranya yang cukup unik selain berbekalkan wajah yang tampan.
Menurut Pengarah Urusan Hayat Kreatif Studio, Aidilhayat Omar berkata, ketika ini sudah menjadi satu trend lagu-lagu Malaysia dirakam semula oleh penyanyi Indonesia.
“Tanpa disedari, pengaruh lagu-lagu malar segar daripada pencipta-pencipta negara ini, telah pergi jauh sehingga ke negeri-negeri seberang,” ulasnya.
Hayat Kreatif Studio yang bertanggungjawab dalam pengedaran dan promosi untuk lagu nyanyian Raffa di Malaysia, yakin pemilihan lagu Tiara adalah tepat.
Jumlah tontonan di saluran youtube Raffa mencecah 300,000 setiap hari. Setelah Raffa, ramai yang sudah mula merakamkan semula lagu Tiara di Indonesia.
Aidilhayat berterima kasih kepada Datuk M.Nasir dan Luncai Emas Sdn Bhd akan kebenaran yang diberikan untuk merakamkan semula lagu terbabit.
“Proses perlesenan hak cipta telah dipermudahkan oleh pihak Luncai Emas. Dengan kolaborasi ini, Hayat Kreatif Studio juga berharap trend merakam ulang lagu-lagu malar segar popular seperti Tiara ini akan berterusan kerana ianya dapat memperkenalkan kembali lagu-lagu lama kepada generasi muda hari ini,” jelasnya.
Tiara merupakan single kedua hasil kolaborasi di antara Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertainment. Manakala, hak cipta lagu ini adalah di bawah Luncai Emas Sdn Bhd.
Kini, lagu Tiara oleh Raffa Affar boleh didapati di semua pelantar streaming dan video muziknya telah pun di muat naik di saluran Youtube Hayat Kreatif Studio untuk tontonan ramai.

