meninggal sebelum sempurna haji

Dari Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang mendatangi rumah ini (menunaikan haji atau umrah) tanpa merosakkannya dengan perbuatan dan perkataan kotor, serta tidak membuat maksiat maka dia kembali pada keadaannya seperti baru lahir (bersih dari dosa).”

Menurut Pensayarah Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Amzan Satiman, haji mabrur pahalanya adalah syurga dan apabila ajalnya sampai di sana maka ia akan mendapat syurga. Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan maksiat akan diampunkan dosanya dan seperti bayi baru lahir.

Kita selalu berdoa serta memanjatkan pengharapan penuh agar tergolong di kalangan orang yang disebutkan di dalam hadis itu.

Akan tetapi, bagaimana pula yang hajinya belum habis tetapi sudah dipanggil menghadap Sang Pencipta? Adakah hajinya juga mendapat seperti yang dijanjikan di dalam hadis tadi. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Barang siapa keluar melaksana haji lalu dia mati nescaya akan dicatat pahala haji hingga kiamat. Barang siapa yang melaksanakan umrah lalu dia mati maka nescaya akan dicatat pahala umrahnya hingga kiamat. Dan barang siapa yang berperang di jalan Allah lalu dia mati maka dicatat Allah pahala orang yang berjuang hingga kiamat.”

Ada satu lagi hadis, Dari Ibnu Abbas katanya,

“Seorang lelaki jatuh dari unta ketika ihram lalu patah lehernya dan meninggal. Maka bersabda Rasulullah s.a.w., “Mandikan dia dengan air yang dicampurkan daun sidir (bidara) kemudian kafani dengan kedua kain ihramnya; kerana sesungguhnya Allah akan membangkitkannya kelak di hari kiamat dalam keadaan membaca talbiyah (sedang mengerjakan haji).”

Pahala orang yang meninggal ketika mengerjakan haji akan berpanjangan hingga kiamat. Adakah haji atau umrahnya perlu disempurnakan oleh warisnya? Mengenai hal itu pula, Amzan  berpendapat jika seseorang meninggal semasa mengerjakan haji atau umrah maka tidak perlu disempurnakan haji atau umrah bagi pihaknya.

Begitu juga tidak perlu dilakukan sekali lagi oleh warisnya. Ia bersesuaianlah dengan hadis yang disebutkan di awal tadi. Rasulullah tidak menyebut langsung agar disempurnakan haji lelaki yang meninggal tadi. Walau bagaimanapun jika ada yang ingin melakukan haji bagi pihaknya tidak menjadi kesalahan sebagai langkah berhati-hati.

Upah robot mengerjakan haji

Bolehkah robot melakukan haji bagi kita? Mungkin suatu hari nanti kita mencipta robot yang sebiji macam manusia. Ketika itu bolehkah kita upah robot melakukan haji untuk kita? Robot yang dicipta itu cukup canggih hingga boleh berfikir seperti manusia dan ada perasaan.

Mengenai hal itu pula, Amzan berpendapat tetap tidak boleh kerana robot itu bukan mukalaf. Salah satu syarat sah haji adalah mukalaf iaitu berakal dan baligh. Walaupun suatu hari nanti robot yang kita cipta itu mempunyai tahap kebijaksanaan yang tinggi tetap tidak boleh.

Ia tidak mencukupi syarat mukalaf walaupun robot itu sebiji macam manusia tetapi dari segi hukum hakamnya tidak sampai kepadanya. Maksudnya hukum hakam Allah tidak tertakluk kepada robot kerana hukum Allah hanya ditujukan kepada manusia dan jin.

Tidak masuk dalam ciri mukalaf kerana bukan manusia yang sejati malah al-Quran pun menyebut ‘wahai manusia’ dan tidak pernah disebut ‘wahai robot’.

Mengerjakan haji juga seperti ibadat yang lain perlu menghadirkan diri, hati, minda dan menuntut khusyuk. Memandangkan robot itu tidak mempunyai hati dan fikiran, jadi tidak boleh untuknya mengerjakan haji bagi pihak manusia.

Satu lagi alasan yang boleh difikirkan adalah niat. Untuk itu memang robot tidak boleh diambil kira langsung dalam soal niat. Semua amalan kita berdasarkan niat seperti disebut di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul Nya. Barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (HR Muslim).

_______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare