“SUDAH lama ruangan DCCK ini disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia sejak tahun 1980 lagi dan baru-baru ini disambung secara dalam talian pula dalam UtusanTV, sepatutnya sudah banyak pengajaran tentang realiti kehidupan dapat kita kutip dan dijadikan iktibar dalam menjalani kehidupan yang penuh mencabar ini. 

“Tetapi sayangnya masih ramai yang tidak faham, buta hati dan tidak ada perasaan. Tak kira lelaki mahu pun perempuan, yang menghadapi masalah rumahtangga, bergaduh adik beradik, kecil hati dengan mertua, suami berpoligami, suami ada kekasih, kaki judi atau terpaksa pelihara ibu bapa yang dimamah usia, mereka tetap buat kesilapan dan kesalahan yang sama tanpa memikirkan keburukan kemudian hari. 

“Inilah yang berlaku pada kami adik-beradik dan ipar duai saya. Macam  mereka langsung tidak ada didikan agama ataa tak pernah dengar nasihat ustaz bahawa ibu  adalah salah satu pintu untuk anak-anak masuk ke syurga. Tapi sebab syurga tak nampak, siapa ambil peduli! 

“Tujuan saya hantar e-mel bukan menghina tetapi untuk menceritakan penderitaan yang ibu saya tanggung, dengan harapan untuk ingatkan kita semua termasuk abang-abang saya, sedarlah wahai abang, betapa buruknya layanan abang terhadap ibu. Tak kiralah kerana campur tangan atau hasutan isteri-isteri abang sendiri. 

“Bukan juga tujuan saya hendak mengungkit atas apa yang telah saya lakukan untuk ibu selama ini. Tapi fikir-fikirkanlah apa khidmat bakti kamu terhadap ibu yang melahirkan dan besarkan kamu, supaya jadi manusia berguna.’’ Demikian luahan hati Shary.   

“Benarlah kata orang, seorang ibu boleh membesarkan 10 anak tetapi belum tentu 10 orang anak boleh membela ibu mereka seorang. Sejak ayah meninggal dunia ketika usia abang sulung baru 15 tahun, ibu yang membanting tulang mencari rezeki membesar dan sekolahkan kami enam beradik. Apabila kami semakin dewasa, tinggallah ibu seorang kerana ada antara kami enam beradik ini berjaya melanjutkan pelajaran dan ada yang sudah berkeluarga.   

“Kami enam beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan. Dan saya yang bongsu. Kata abang Ed, sebelum ayah meninggal dunia, ayah ada tinggalkan pesanan dan wasiat bahawa sebidang tanah rumah milik ayah, ayah serahkan kepada abang dan ayah berwasiat suruh abang Ed bina rumah atas tanah tersebut. Tujuan ayah supaya abang boleh  menjaga ibu apabila ibu semakin tua nanti. 

“Oleh kerana kami tiga orang masih belajar dan tiga lagi sudah berkahwin, maka abang memberitahu kami bahawa abang ingin membina rumah tanah pusaka tinggalan ayah sebagai menjalankan wasiat ayah. Katanya lagi bila sudah ada rumah nanti bolehlah dia menjaga ibu. Kata abang lagi dia cuma ingin menjalankan wasiat ayah. Tentu kami setuju. 

“Begitu kata-kata abang ketika membuat perjumpaan kami adik beradik supaya menurunkan tandatangan untuk menyerahkan hak milik ke atas tanah tersebut kepada abang Ed. Maklumlah abang anak sulung, begitu katanya menyampaikan wasiat ayah yang mesti dipatuhi. Kami tak bantah. Maklum wasiat ayah demi untuk kebaikan ibu juga. 

“Walaupun tiada pertukaran nama dibuat ayah sebelum meninggal dunia atau sebarang wasiat bertulis untuk pengetahuan anak-anak, namun kami percaya dan yakin dengan abang Ed. Kami tidak bantah, tambahan pula kata abang Ed dia perlu bina rumah dengan segera untuk menjaga ibu. Apa lagi tentulah kami yakin dan percaya. 

“Kami menaruh harapan amat tinggi agar nasib ibu dapat dibela oleh abang Ed kerana keadaan dan usia ibu semakin tua dan ibu tinggal sendirian di rumah tinggalan ayah atas tapak tanah yang sama. Tentulah kami setuju dengan harapan ibu mendapat perhatian dari abang. 

“Tetapi alangkah sedihnya, harapan kami sia-sia sahaja. Sejak kesihatan ibu semakin merosot selepas pertukaran nama tanah dibuat, rumah yang diharapkan segera di bina masih tertangguh tahun demi tahun. Ibu tetap tinggal sendirian. Apabila hari berganti bulan dan bulan berganti tahun, barulah kami dapat lihat perangai abang Ed sebenarnya. Bermula dengan kejadian ibu terjatuh di tepi jalan ketika kembali dari kedai dan terpaksa dimasukkan ke hospital. 

“Semua urusan masuk hospital saya uruskan. Abang tak datang, katanya kerana hujung tahun dia sibuk uruskan anak-anaknya hendak belajar. Jadi dia tak dapat uruskan emak masuk hospital apa lagi untuk melawat emak. Katanya urusan dan masa depan anak anaknya juga penting. Mereka nak belajar. Jadi saya terpaksa tinggalkan suami dan anak yang masih kecil di rumah, untuk uruskan keperluan ibu semasa di rawat di hospital. 

“Abang Ed langsung tak ambil tahu masalah ibu. Dia buat leka dan bersikap lepas tangan. Setelah lima hari ibu di hospital barulah abang Ed muncul menjenguk ibu. Itupun setelah puas saya merayu dan memujuk abang supaya segera datang kerana ibu sentiasa bertanyakan di mana abang dan mengapa abang masih tidak datang ke hospital. 

“Alasan abang Ed dia tak dapat datang kerana masa lawatan ke hospital terlalu singkat, jadi dia tak sempat nak datang dan kerja pun banyak. Tambahan pula dia terpaksa membeli makanan untuk anak-anak kerana isterinya tak sempat masak dan terlalu sibuk dengan kerja. 

“Alasan abang memang tak masuk akal sebab saya masukkan ibu ke hospital swasta, waktu lawatan fleksibel, jadi nampak sangat abang Ed sengaja cara jalan tidak mahu melawat ibu. Setelah saya beri penjelasan tanggungjawab utama saya adalah terhadap suami dan anak di rumah, barulah abang Ed setuju melawat ibu. 

“Setelah ibu agak sihat dan boleh keluar dari hospital, saya bawa ibu balik ke rumah saya dan ibu tinggal bersama saya lebih tiga tahun. Saya akui memang besar cabaran bila kita menjaga orang tua, perasaan orang tua sangat sensitif, tak boleh salah cakap sikit, cepat berkecil hati dan dalam kes ibu saya, ibu memang banyak kerenah. Jadi kita mesti banyak bersabar. 

“Pada saya, apa juga kehendak ibu saya patuhi dan kalau dia membantah, saya berdiam diri, marahnya saya anggap macam angin lalu dan saya pujuk. Walaupun kadang kala memang menyakitkan telinga dan mengguris hati. Tetapi kerana ibu, saya mesti tutup mulut 

“Sejak ibu tinggal di rumah saya, kehadiran kakak-kakak ipar datang melawat ibu boleh di kira dengan jari. Setahun dua atau tiga kali sahaja, sedangkan jarak rumah kami hanya 20 minit dengan memandu kereta. Kerana mereka ada agenda lain yang lebih utama. Sejak ibu sakit mereka anggap seolah-olah ibu telah tiada. Dan kalau ibu datang hanya mengganggu `privacy’ mereka. 

“Ibu pernah beberapa kali beritahu dia hendak tinggal di rumah abang Ed namun sambutan  abang dan isterinya sangat dingin. Mereka buat-buat tak dengar. Pernah ibu telefon abang datang ambil ibu kerana dia hendak berehat di rumah abang sambil bertukar angin. 

“Perangai ibu pula selepas bercakap dengan abang, esoknya pagi-pagi lagi ibu minta saya siapkan pakaiannya masukkan ke dalam beg kerana ibu ingin sangat ke rumah abang. Tetapi alangkah sedihnya dari pagi sampai malam abang tak muncul. Telefon pun tidak, patutnya abang telefon ibu beri alasan mengapa dia tak dapat datang. 

“Kerana kesiankan ibu asyik menunggu, saya telefon abang, tapi dia beri seribu alasan. Katanya lagi dia takut tak terlayan kehendak ibu.  Bukan layanan macam tuan puteri yang ibu minta. Ibu cuma mahu bertukar angin, ingin berehat ke rumah abang cuma dua hari sahaja, tetapi bila kehadiran ibu tidak disukai isteri abang. Apa boleh buat. 

“Pernah saya buat hati kering hantar juga ibu ke rumah mereka kerana kesian ibu hendak sangat menjenguk anak cucunya di sana. Tapi baru semalam, abang Ed suruh saya ambil balik, kalau tidak dia akan hantarkan ibu ke rumah saya. 

“Saya tahu, anak-anak abang Ed jijik melihat ibu bila makan, air liur meleleh keluar disebabkan otot-otot mulut ibu sudah lemah kerana `strok’. Kadang-kadang ibu terkencing dalam kain, jadi mereka tak suka nanti berbaulah mahligai mereka. 

“Isteri abang Ed sangat pembersih orangnya, dia tidak tahan bau hancing ibu. Dia selalu merungut kerana kepenatan terpaksa mengemop lantai yang kotor kerana titisan air kencing ibu walaupun ibu menggunakan lampin. Pernah ibu terjatuh dalam bilik air di rumah mereka, anak abang Ed lelaki yang sulung berumur 18 tahun, dia biarkan saja neneknya terlentang dalam bilik air. Dia langsung tak mahu tolong angkat. 

“Sebaliknya dia panggil ayahnya uruskan ibu yang jatuh. Isteri abang juga jijik dan dia tak sanggup hendak pegang badan ibu, katanya badan ibu berbau busuk dan hanyir. Sedarlah wahai cucu yang sombong dan bongkak bahawa mahligai yang ayah kamu dirikan di atas tanah arwah datuk yang menjadi kebanggan kamu itu adalah amanah datuk untuk menjaga nenek. Kepada abang dan kakak ingatlah balasan perbuatan anak-anak kamu bila kamu tua kelak. 

“Sejak tahun lepas, ibu tinggal bersama mereka kerana saya sekeluarga berpindah ke negeri lain kerana tugas. Berat hati saya tinggalkan ibu. Tetapi apa boleh buat, kami berpindah kerana mencari rezeki. Sehari sebelum tahun baru, abang Ed minta abang Kob datang ambil ibu bawa ibu duduk di rumahnya. Alasannya isterinya sudah penat jaga ibu. 

“Abang Kob dan anak-anaknya memang baik melayan ibu, tetapi entah di mana silapnya, isteri abang Kob tak suka bertegur sapa dengan ibu sejak dulu lagi. Saya tak tahu apa sebenar masalah mereka, sebab ibu tak bercerita tetapi memang dia tak suka bercakap dengan ibu. 

“Memang pelik perangainya, baik Hari Raya atau tidak dia tidak mahu bersalaman atau bercakap dengan ibu, sebaliknya ibu yang terketar-ketar bangun jemput dia masuk ke rumah. 

“Saya cukup hairan seorang wanita berpelajaran, pernah menjejakkan kaki ke Mekah boleh membenci ibu mertuanya. Kalau dia tidak bersedia berdepan dengan ibu dan kami adik-beradik, lebih baik tak usah balik kampung, balik ke rumah ibu awak sendiri. Hati kami pun tak sakit melihat perangai macam tunggul kayu tak mahu bercakap dengan kami. 

“Akhir sekali, saya menyeru abang-abang berfikirlah dan bertindaklah sebagai anak lelaki Islam sejati bahawa tanggungjawab memelihara dan menjaga ibu sendiri lebih utama dalam hidup kamu. Kepada kakak-kakak iparku sedarlah bahawa darjah ibu mertua kamu sama tingginya dengan ibu sendiri. Jadi berbaktilah kepada ibu mertua semasa hayatnya masih ada dan mintalah keampunan atas apa juga kesalahan yang pernah anda lakukan.’’

Demikian cerita Shary tentang sikap adik beradik lelaki juga ipar duai yang terpaksa sama memikul tanggungjawab menjaga ibu mertua yang diserang penyakit stroke. 

Ingatlah apa juga dosa dan pahala, keburukan juga kebaikan yang kita lakukan sekarang semasa dia dunia, akan datang pembalasannya dari Allah. Kita tidak perlu tunggu akhirat untuk dihitung dosa dan pahala, sebaliknya di dunia lagi kita sendiri akan menerima pembalasannya. Sama ada cepat atau lambat, pembalasan tetap akan tiba juga. Ingatlah! 

Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 0192393419 atau ingin melahirkan masalah anda sila hantarkan ke e mail saya [email protected]  atau  [email protected]