PELAKON Nazrief Nazri meluahkan rasa bengang apabila terpaksa berhadapan dengan penunggang motosikal yang menunjukkan jari tengah hanya kerana membunyikan hon kenderaan selepas lampu isyarat bertukar hijau.

Menurut Nazrief,31, kejadian tersebut berlaku ketika dia dan keluarganya dalam perjalanan ke taman rekreasi pada Ahad lalu.

“Ceritanya, saya nak bawa anak dan isteri berjalan dekat taman. Masa dekat lampu isyarat, bila lampu dah hijau, ada satu pasangan ini bersembang atas motor sampai tak perasan lampu dah lama hijau.

“Jadi saya membunyikan hon kereta sekali sebagai isyarat suruh dia jalan. Tapi isteri dia boleh ‘buat muka’ sambil mengomel marah-marah sebab saya hon.

“Saya hon kali kedua sambil angkat tangan sebagai isyarat supaya dia lebih berhati-hati sewaktu menunggang motosikal dan meminta maaf,” tulisnya.

Menyangkakan kejadian tersebut akan berakhir, namun pasangan tersebut mengejar kereta yang dipandu Nazrief sambil menunjukkan isyarat jari tengah.

“Agaknya lelaki itu tak puas hati sangat sebab saya hon kali kedua, dia kejar kereta saya sambil jerit-jerit dan tunjuk isyarat jari tengah.

“Saya malas nak layan dan teruskan perjalanan macam biasa. Tetapi lelaki itu masih mengejar kereta kami.

“Masa inilah saya suruh isteri keluarkan telefon bimbit sebagai langkah keselamatan sebab Noah (anak) tengah tidur di tempat duduk belakang.

“Sampai satu simpang lampu isyarat merah, lelaki itu ketuk cermin kereta, marah-marah tak puas hati.” jelasnya lagi.

Tidak mahu memanjangkan lagi pergaduhan selain memikirkan keselamatan keluarga, Nazrief bertindak meminta maaf kepada individu terbabit.

“Memikirkan niat nak bawa anak dan isteri berjalan dekat taman, saya rendahkan ego dan minta maaf supaya tak nak keruhkan keadaan.

“Tapi lelaki itu tak puas hati sebab dia nampak isteri tengah rakam dan minta jangan viral.

“Niat saya buat ‘posting’ ini supaya kita hentikan sikap biadab atas jalan raya macam ini. Marah macam mana sekalipun, cubalah berbincang dengan baik.

“Kita nak ke generasi akan datang jadi tidak beradab dek kerana sikap kita sendiri?,” luahnya.