KUALITI perkhidmtan telekomunikasi yang baik diperlukan untuk membolehkan pembelajaran dalam talian dilaksanakan. GAMBAR: Abd Razak Aid

AXIATA Group Bhd (Axiata) dan Digi.Com Bhd berharap dapat merealisasikan potensi syarikat penggabungan yang dicadangkan (MergeCo) dari segi memperkukuh kapasiti bagi memacu pendigitalan untuk pengguna, perniagaan, ekosistem rakan kongsi dan pembangunan bakat tempatan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata MergeCo akan menyediakan kualiti dan liputan rangkaian yang lebih baik kerana ia telah bersedia untuk melabur dalam pengembangan rangkaian bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk data dan pendigitalan.

MergeCo akan berada pada kedudukan yang baik untuk memacu penyelesaian 5G, memangkinkan peluang pertumbuhan baharu untuk perusahaan besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menarik dan menjalinkan kerjasama dengan gergasi digital global bagi menyokong aspirasi JENDELA dan MyDigital.

“MergeCo akan turut memanfaatkan gabungan skala ekonomi untuk menyampaikan manfaat kepada pelanggan melalui pengagihan teras yang diperkukuh, operasi rangkaian yang dipertingkatkan dan kecekapan yang direalisasikan daripada aktiviti operasi,” menurut kedua-dua pihak berkenaan.

Dalam merealisasikan dengan lebih lanjut potensi digital negara, kedua-dua pihak itu menambah MergeCo bercadang untuk melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun untuk membina pusat inovasi bertaraf dunia di Kuala Lumpur bagi memastikan Malaysia berada di barisan hadapan revolusi digital global.

Pusat inovasi itu penting dalam memajukan penyelidikan dan pembangunan yang meluas dengan memanfaatkan teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda (IoT).

BERITA BERKAITAN MCMC lulus cadangan penggabungan Celcom-Digi

Pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata penyampaian rangkaian dan ketersambungan yang lebih baik untuk pelanggan mereka amat penting.

“Sebagai dua syarikat yang mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam menyumbang ke arah pengukuhan negara, kami turut teruja dengan kemasukan digital dan peluang-peluang pertumbuhan yang akan dimanfaatkan oleh MergeCo dan pusat inovasi yang dicadangkan itu,” katanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah Digi, Haakon Bruaset Kjoel berkata kedua-dua pihak kini akan menumpukan pada melengkapkan langkah yang selebihnya untuk memuktamadkan penggabungan dan berusaha untuk menyampaikan program integrasi yang lancar bagi menjadikan visi dan nilai entiti yang digabungkan kepada realiti.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Eksekutif Telenor Asia, Jørgen Arentz Rostrup berkata kedua-dua pihak telah mencapai kejayaan positif dalam proses penggabungan Malaysia dengan pelepasan kawal selia daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Dengan cadangan langkah-langkah struktur di Thailand dan Malaysia, Telenor mempunyai cita-cita yang jelas untuk mewujudkan syarikat yang sesuai pada masa hadapan yang boleh menyokong aspirasi digital negara dan membawa perkhidmatan baharu dan termaju kepada pengguna di seluruh rantau ini,” katanya.

Awal pagi ini, MCMC mengumumkan bahawa ia telah meluluskan cadangan penggabungan antara Digi dan Celcom selepas penilaian menyeluruh terhadap cadangan permohonan penggabungan dan pertimbangan sewajarnya respons Axiata dan Digi ke atas Pernyataan Isu MCMC pada April 2022.

Penyempurnaan cadangan penggabungan kini tertakluk kepada kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia Bhd, pemegang saham Axiata dan Digi dan pemenuhan terma dan syarat lazim yang lain.

Cadangan penggabungan itu dijangka siap dalam separuh kedua tahun ini.

“Sebaik sahaja selesai, Axiata dan Telenor akan memegang pemilikan sama sebanyak 33.1 peratus setiap satu dalam syarikat baharu digabungkan itu yang akan dinamakan Celcom Digi Bhd dan akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia,” tambah kedua-dua pihak berkenaan.

— BERNAMA