Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com yang memanfaatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Berucap pada majlis pelancaran program itu di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri berkata, inisiatif seumpama ini adalah julung-julung kali dilaksanakan untuk penjawat awam secara digital.

Katanya, program ini mempunyai beberapa ciri antaranya kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus.

“Penjawat awam juga boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan.

“Bayaran balik pembiayaan pula secara ansuran sehingga 10 bulan, melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA),” katanya.

Jelas Perdana Menteri, melalui Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan ‘Mudah, Jimat dan Pantas’.

Katanya, Nota Perlindungan Insurans pula boleh diperoleh hanya dalam tempoh lima minit dengan pembiayaan ini berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan, yang merupakan pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba.

Baca: Skim Insurans Keluarga Malaysia lindungi 268,000 keluarga – PM

Penjawat awam boleh beli insurans kenderaan secara ansuran

“Dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan, penjawat awam boleh mengambil perlindungan tambahan yang lebih komprehensif untuk kenderaan masing-masing.

“Ini bagi memastikan kenderaan dan penumpang berupaya dilindungi daripada kemalangan, serta bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, kata Perdana Menteri, inisiatif yang dilancarkan pada hari ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh semua penjawat awam tetapi juga mereka yang bertaraf kontrak.

Kata beliau, penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak, layak memohon skim Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan.

“Program ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

“Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan.

“Pada masa yang sama, usaha ini dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau juga telah berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia agar Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com ini turut diperluaskan kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa terdekat.