Datuk Seri M. Saravanan (lima dari kiri) sewaktu majlis menandatangani perjanjian antara Perkeso, MyAngkasa Amanah dan ATech Insure, hari ini.

KIRA-KIRA 1.7 juta penjawat awam terutama daripada golongan B40 kini berpeluang membeli atau memperbaharui takaful (insurans) kenderaan mereka secara ansuran tanpa sebarang faedah melalui pelaksanaan Skim MyezyCover yang diperkenalkan kerajaan hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, skim patuh syariah itu dilaksanakan dengan pembiayaian RM100 juta melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) dan A Tech Insure Sdn Bhd (ATECH).

“Pada peringkat awal ini, program disasarkan kepada penjawat awam khasnya B40 sebelum diperluaskan kepada golongan pesara (kerajaan) dan syarikat swasta yang mana mereka boleh membeli insurans (takaful kenderaan) secara ansuran sama ada setiap bulan, setiap tiga atau empat bulan atau sekali gus.

“Apabila mereka buat pembayaran sekali gus, mereka akan dapat 10 peratus diskaun dengan pembayaran adalah menerusi potongan gaji oleh Angkasa,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Skim MyezyCover di Menara Perkeso hari ini.

Pada majlis perjanjian itu, Perkeso diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed; ATECH diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Syed Alwi Mohamed Sultan manakala MAAB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faudzi Mt Din.

Baca artikel berkaitan: ANGKASA seru koperasi masjid pelbagai strategi perniagaan

Saravanan berkata, penglibatan Perkeso dalam program skim itu adalah sebagai pelabur kerana kerajaan menyedari terdapat penjawat awam khususnya daripada golongan B40 berdepan dengan kedudukan kewangan yang sekadar “cukup-cukup” untuk membeli takaful kenderaan mereka.

“Keadaan ini menyebabkan ada daripada mereka terpaksa menunggu sehingga mendapat gaji untuk membeli takaful kenderaan sekiranya tempoh takaful kenderaan itu tamat pada pertengahan bulan.

“Ada juga kumpulan-kumpulan ini memiliki road tax (lesen kenderaan motor) dan insurans kerana meminjam Ah Long (peminjam wang tidak berlesen) selain melalui koperasi dan menggunakan kad kredit.

Jadi melihat pada kerugian aliran tunai melalui pinjaman ini, saya berbincang dengan syarikat sektor insurans dan diberitahu mereka tiada halangan untuk berikan ansuran selagi ada pihak ketiga boleh bayarkan (biaya) dahulu. Jadi saya telah berbincang dengan Perkeso dan pihak lain kemudiannya untuk menyertai program sebagai pelabur,” katanya.

Saravanan yakin program itu akan dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat memandangkan lebih ramai penjawat awam berupaya mengurangkan bebanan kewangan mereka.

Sementara itu, Pengerusi ATECH, Tan Sri Abu Kassim Mohamad dalam kenyataan berkata dengan ansuran serendah RM50 sebulan, Skim MyezyCover itu dapat membantu penjawat awam menguruskan pegangan tunai untuk digunakan pada perbelanjaan lain. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram