Annuar Musa pada Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Auditorium Perdana Angkasapuri hari ini./Gambar FB K-KOMM

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mahu Hari Kebangsaan tahun ini disambut dengan pembaharuan iaitu melibatkan penyertaan di peringkat komuniti dan keluarga supaya tema dan konsep sambutan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang diterapkan kali ini, dapat dirakyatkan sepenuhnya.

Beliau berkata ini penting kerana sambutan tidak seharusnya hanya bersifat majlis besar yang dilaksana di peringkat nasional, sebaliknya perlu menonjolkan cara setiap keluarga atau komuniti dari pelbagai latar belakang dalam menyambut hari bersejarah negara. 

“Kita juga akan menggerakkan unit-unit yang ada dalam rangkaian komuniti Keluarga Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain agar semuanya mengambil inisiatif untuk menggerakkan dan mengadakan sambutan peristiwa ini di peringkat akar umbi.

“Malah kalau boleh kita jalankan kempen agar sambutan berlaku juga di peringkat keluarga, mungkin sebagai contoh mewujudkan satu pertandingan di TikTok untuk memperlihatkan cara-cara Keluarga Malaysia kita menyambut Hari Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri hari ini.

Annuar berkata beliau akan menulis surat kepada semua kerajaan negeri serta wakil-wakil rakyat untuk mendapatkan kerjasama mereka dalam merakyatkan sambutan terbabit. 

Pelancaran itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.

Baca: Tiada lagi pendekatan tembok besi antara kerajaan-pembangkang – Annuar

Sementara itu, dalam sidang media, Annuar berharap program sambutan itu dapat dihebahkan oleh pihak media serta agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan bagi menggalakkan penyertaan menyeluruh dari rakyat, di samping membantu menerapkan penghayatan mereka terhadap tema sambutan. 

“Saya rasa ini penting kerana saya nak tengok lebih fizikal, lebih kertelihatan sambutan dilakukan oleh keseluruhan rakyat Malaysia yang berbagai kaum,” katanya.

Beliau juga tidak mahu melihat sambutan terbabit hanya kelihatan seolah-olah disambut oleh negeri tertentu sahaja atau di peringkat tertentu atau disambut oleh kaum tertentu sahaja tetapi ingin benar-benar melihat kebersamaan rakyat Malaysia.

“Sebagai contoh kita mahu keterlihatan dalam meningkatkan peluang siaran terhadap program yang dilaksanakan pelbagai masyarakat dalam negara ini sempena Hari Kemerdekaan di stesen-stesen siaran (televisyen). Jangan siar semuanya (program) KL centric (menumpukan program di Kuala Lumpur sahaja) atau hanya perkara yang dibuat oleh masyarakat Melayu,” katanya. 

Mengulas pemilihan logo berkonsepkan jalur liputan internet dan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kali ini, Annuar berkata ia bersesuaian dengan situasi dialami negara ketika ini. 

Beliau berkata tiga warna pada logo mempamerkan kebersamaan rakyat sebagai Keluarga Malaysia yang hidup bersatu dan aman damai sekali gus menjadi intipati untuk negara bergerak ke hadapan dan menggambarkan negara telah berkembang daripada kecil kepada (pembangunan) lebih besar.

Ia juga melambangkan bagaimana rakyat komited untuk terus maju ke dalam suasana yang mencabar, namun masih mempunyai teknologi terkini seperti jalur lebar, wifi yang menjadi pengikat, penghubung dan asas kepada kesalinghubungan kehidupan dan ekonomi, katanya.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam kenyataan memaklumkan tiga aktiviti utama akan diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Ia merangkumi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai di Putrajaya, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka. 

Di samping itu, pelbagai program dan pertandingan berunsur kenegaraan telah disusun bagi memupuk serta menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Ia antaranya Pertandingan ILHAM Merdeka Tik Tok Challenge, Pertandingan [email protected], Pertandingan Bintang Smule,Pertandingan Bintang Patriotik, Pertandingan Mewarna dan Melukis [email protected], Program Pengisahan Kenegaraan, Sayembara Sajak Merdeka yang kesemuanya akan bermula pada 30 Julai hingga 16 Sept. 

Bagi menyemarakkan semangat patriotisme pula, program Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM2022) yang berkonsepkan serah baton akan diadakan bermula pada 30 Julai di Putrajaya, dengan acara pelepasan akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

— BERNAMA