Pas jangka gelombang penghijrahan ahli Bersatu – Annuar

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

PAS memberi bayangan kemungkinan berlakunya penghijrahan besar-besaran dalam kalangan ahli Bersatu susulan perkembangan politik semasa yang sedang dihadapi parti itu.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berkata, Pas mengambil maklum mengenai dinamika yang berlaku dalam Bersatu dan memilih untuk memberi ruang kepada ahli-ahlinya menentukan pendirian masing-masing.

Menurut beliau, mengambil kira masalah dalaman serta fasa transisi yang sedang dilalui Bersatu, Pas kekal dengan pendirian terbuka dan mesra terhadap semua ahli parti berkenaan.

“Pas mengambil perhatian dinamik kalangan ahli Bersatu di mana berkemungkinan berlaku hijrah besar-besaran dari satu pihak ke satu pihak.

“Justeru buat masa ini, kedudukan individu dalam kerajaan pimpinan Pas tidak terjejas selagi mereka menyokong dan bekerjasama dengan Pas,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau.

Annuar berkata, walaupun hubungan rasmi di peringkat parti telah dihentikan, hubungan di peringkat individu serta ahli akar umbi masih berjalan seperti biasa dan terus dihormati.

Beliau menegaskan Pas tidak akan mencampuri urusan dalaman Bersatu, sebaliknya memberi masa kepada semua pihak untuk membuat keputusan politik masing-masing.

“Kestabilan politik kekal diutamakan. Masa perlu diberikan kepada mereka untuk membuat pendirian masing-masing dan PAS tidak akan mencampurinya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pas turut mengambil kira hakikat bahawa masih ramai ahli Bersatu yang mahu meneruskan kerjasama dengan parti berkenaan.

Katanya, hasrat tersebut dialu-alukan dan Pas akan terus membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama demi kepentingan bersama.

Menurut Annuar, fokus utama Pas ketika ini adalah memperkukuhkan parti bagi memastikan amanah dan aspirasi rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau turut menegaskan Pas akan meneruskan usaha memperkasakan perpaduan politik Melayu-Islam serta memperkukuh muafakat pelbagai kaum demi menjamin masa depan negara yang lebih stabil dan sejahtera.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This