Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas selesai berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan UMNO hanya ada satu kumpulan yang mengetuai pucuk pimpinan parti tersebut.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, UMNO tidak terbahagi kepada dua kem seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

“Tiada kem dalam UMNO…hanya ada satu kem dalam UMNO,” jawabnya ringkas memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai kemelut dalam parti tersebut.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pihak untuk menarik semula pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besa Malaysia ke Indonesia, Ismail menegaskan agar perkara itu tidak dipersoalkan.

Jelas beliau, pelantikan Tajuddin bagi jawatan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baca artikel berkaitan: Sejam sidang media, Tajuddin buka habis cerita

“Itu (lantikan Tajuddin) sudah diluluskan Kabinet dan diserah pada Agong… dah dapat perkenan (Agong). Sepatutnya dah serah watikah…tapi Agong gering waktu nak serah (watikah)..tapi lepas ni akan diserahkan.

“Jangan kita persoalkan kuasa Agong pula. Agong dah perkenan, (takkan) kita (kerajaan) pula nak tarik balik,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Tajuddin menggemparkan arena politik negara apabila membuat sidang media dan mendedahkan pelbagai perkara termasuk kemelut yang berlaku dalam UMNO.

Antara kritikan pedasnya ialah mengenai usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membentuk penjajaran politik bersama kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lebih mengejutkan ramai, Tajuddin juga mendakwa Ahmad Zahid membuat penjajaran baharu melibatkan sokongan UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Ismail berkata, UMNO masih menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk meluluskan pindaan perlembagaan parti itu sehingga 16 Julai ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram