PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, hari ini.
Menurut Anwar, pertemuan itu berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni.
Katanya, pertemuan itu memberikan ruang yang baik untuk bertukar pandangan dan membincangkan perkara-perkara terkait kebajikan serta kesejahteraan rakyat, khususnya di negeri Johor Darul Ta’zim.
“Kami turut membincangkan perkembangan semasa dan perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
“Tunku Mahkota Ismail dan saya juga sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik, selain mengukuhkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil dikutip daripada negeri ini, secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan Johor dan kebajikan rakyatnya dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Baginda bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, titah baginda, hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan semula kepada negeri ini bagi memenuhi keperluan hampir lima juta penduduk.
Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri yang sebelum ini dilapor menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi berdepan masalah ‘kebocoran’.
“Sahabat saya, Perdana Menteri, baru-baru ini membuat satu kenyataan mengatakan Johor ini negeri kaya tetapi banyak ‘bocor’.
“Ya, memang banyak ‘bocor’. Kerajaan Persekutuan yang ‘bocorkan’ Johor,” titah baginda.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

