SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari balkoni di tingkat 35, sebuah kondominium di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengawal keselamatan kondominium pada pukul 2.20 petang.
Siasatan mendapati ibu mangsa yang merupakan warga asing berusia 36 tahun sedang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan dan membawa mangsa ke tempat kejadian.
Difahamkan, sebelum kejadian berlaku, ibu mangsa telah meninggalkan mangsa seorang diri dalam keadaan tidur di ruang tamu rumah lalu turun ke bawah untuk membasuh pakaian di dobi.
“Semasa berada di dobi, ibu mangsa melihat orang ramai telah berkerumun di kawasan tingkat bawah sebelum mendapati mangsa merupakan anaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kanak-kanak cedera jatuh dari tingkat empat bangunan di Langkawi
Jelasnya, mangsa yang juga warga Indonesia dipercayai telah bangun dari tidur dan membuka pintu gelangsor sebelum memanjat kerusi yang berada di balkoni.
Ketika kejadian bapa mangsa berada di Petaling Jaya sedang berkerja dan keluarga mangsa telah menetap di Malaysia sejak lima tahun lepas.
“Mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan adik-beradik yang lain ditinggalkan bersama nenek di negara asal,” tambahnya.
Beliau berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia bagi tujuan bedah siasat.
Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan laporan kematian mengejut juga telah dibuka.
Mohamad Farouk menasihati orang ramai supaya tidak meletakkan sesuatu yang mendatangkan bahaya dan menjaga tingkah laku anak-anak.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

