HISYAM Teh Poh Teik kini dilantik sebagai peguam utama mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang akan didengar di Mahkamah Persekutuan, bulan depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) melalui surat yang dialamatkan kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Surat berkenaan, diperoleh media, ditandatangani rakan kongsi kanan ZIST, Liew Teck Huat, memaklumkan bekas perdana menteri itu melantik Hisyam sebagai peguam utama, Liew dan M. Rueben sebagai peguam bersama dalam kes SRC.

Surat berkenaan turut memaklumkan barisan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak lagi mewakili Najib dalam kes rayuan akhir itu.

Muhammad Shafee mewakili Najib dalam kes SRC sejak Ahli Parlimen Pekan itu dituduh di mahkamah pada 4 Julai 2018.

Selaras dengan penukaran peguam cara, Liew memohon mahkamah satu tarikh sebutan dan pengurusan kes ditetapkan pada atau sebelum 29 Julai ini kerana firma itu mendapat arahan daripada Najib untuk menarik balik rayuan yang difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan kemasukan Peguam Diraja dari United Kingdom (UK), Jonathan James Laidlaw.

Baca artikel berkaitan: Kes SRC: Tetuan Shafee & Co diberhentikan daripada wakili Najib, ZIST dilantik peguam baharu

Selain itu, ZIST juga mendapat arahan daripada Najib untuk berhujah di mahkamah berkenaan dengan penangguhan notis usul yang difailkan pada 7 Jun lepas dan rayuan utama yang ditetapkan pada 15 Ogos atas sebab bahawa satu barisan baharu telah mengambil alih pengendalian perkara itu.

Pada 21 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir beliau terhadap sabitan berkaitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada Mei lepas, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan akhir Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi di sini terhadap Najib atas tujuh pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Sementara itu, Najib, dalam kenyataan, berkata pertukaran peguam dibuat selepas permohonan kehadiran  Laidlow ditolak oleh mahkamah dan selepas beliau berunding dengan peguam di Singapura dan peguam kanan di India mengenai perkara itu.

Beliau berkata adalah tidak adil bagi media untuk membuat kesimpulan atau melaporkan bahawa firma guaman Tetuan Shafee & Co telah “diusir” atau “dibuang”.

“ Tetuan Shafee & Co dan Muhammad Shafee akan tetap meneruskan sebagai peguam cara dalam semua kes lain yang saya hadapi di mahkamah,” kata Najib.

Beliau juga menyatakan sokongan dan penghargaannya kepada seluruh barisan guamannya atas komitmen dan usaha berterusan mereka dalam memastikan beliau diberi perbicaraan yang adil.

Najib berkata beliau yakin bahawa  pasukan pembelaan baharu dilantik itu akan membawa perspektif berbeza kepada pembelaannya

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram