BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menukilkan surat terbuka buat rakyat Malaysia selepas dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion, semalam.
Dalam surat terbuka yang turut dimuatnaik ke Facebook rasminya, Najib menyifatkan perjuangannya bukanlah satu usaha untuk mengelakkan diri daripada tanggungjawab.
Sebaliknya, beliau menegaskan ia merupakan ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut menegaskan beliau hanya menuntut hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan.
Beliau berkata, beliau tetap bertekad meneruskan perjuangan itu bukan kerana dendam tetapi kerana prinsip.
“Niat saya tidak pernah berubah: untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah, dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar.
“Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara,” kata Najib dalam surat terbuka itu.
Baca artikel lain: Kronologi kes 1MDB libat RM2.3 bilion dihadapi Najib
Dalam pada itu, Najib yang juga bekas Presiden UMNO memohon kepada semua rakyat Malaysia untuk kekal tenang, rasional dan berhemah.
Beliau juga meminta semua pihak tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan.
“Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu tetapi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama,” katanya.
Terdahulu, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion bagi 25 kesalahan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan dan pengubahan wang haram RM2.3 bilion dana 1MDB.
Hukuman dijatuhkan terhadapnya selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berkenaan.
Sebelum ini, Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

