Sungai Kupang di Kampung Iboi, Baling naik secara mendadak dan berombak dalam kejadian yang mencemaskan penduduk petang ini.

AIR Sungai Kupang di Kampung Iboi, Baling naik secara mendadak dan berombak dalam kejadian yang mencemaskan penduduk petang ini susulan hujan lebat selama 3 jam.

Kejadian kepala air yang dipercayai turun dari Gunung Inas melimpahi tebing dan beberapa buah rumah dinaiki air serta belum surut setakat malam ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, kejadian kali ini tidak seperti kejadian kepala air dan banjir lumpur yang berlaku pada 4 Julai lalu yang membawa bongkahan kayu dan ranting pokok.

Katanya, tiga mangsa dari satu keluarga yang tinggal berhampiran sungai diarahkan keluar dari rumah atas faktor keselamatan.

“Air banyak sebab hujan tetapi ia tidak menjejaskan penduduk dan sebagainya dan tidak menjejaskan jambatan (bailey) setakat ini.

“Ia cuma ada limpahan sedikit sahaja tetapi dia ikut alur sungai lah..sebab sungai itu cetek,” katanya sebagaimana lapor Astro AWANI.

Shamsudin memberitahu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikerah bagi memantau keadaan air dan penduduk.

Orang awam diingatkan agar tidak berada dekat dengan tebing sungai kerana boleh membahayakan keselamatan mereka.

“Tebing itu adalah tebing berpasir jadi kita bimbang mereka duduk di tebing sungai menyebabkan runtuhan tebing sekali gus membahayakan nyawa mereka,” katanya.

Insiden 4 Julai lalu menyaksikan fenomena kepala air dan banjir lumpur mengorbankan tiga nyawa dari satu keluarga.

Sejumlah rumah penduduk turut dihanyutkan arus manakala beberapa lagi dinaiki air lumpur.