PH perlu menangi hati rakyat Johor, bukan sekadar kempen – Fadhlina

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

JENTERA Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya turun padang menyantuni rakyat dan menjelaskan pencapaian kerajaan, bukan sekadar bergantung kepada kempen politik semata-mata bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, berkata mesej itu antara yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya Negeri Johor 2026 malam tadi.

Beliau berkata, segala usaha dan ikhtiar kerajaan selama ini sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan tertinggi.

“Jentera PH di semua peringkat perlu bekerja bersama, membuat persiapan terbaik dan menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat.

“Ketuk setiap pintu rumah dan menangi hati rakyat. Santuni mereka, sampaikan pencapaian kita selama ini dan tekad untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan rakyat memahami hasil kestabilan politik yang dinikmati negara sejak pembentukan Kerajaan MADANI.

Menurutnya, kestabilan politik dan ekonomi yang dicapai ketika ini membolehkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

“Walaupun Malaysia berdepan kesan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat dan krisis sumber tenaga global, ekonomi negara kekal berdaya tahan.

“Ini membuktikan dasar yang dilaksanakan kerajaan berjaya memastikan negara terus kukuh dalam keadaan mencabar,” katanya.

Beliau berkata, PH akan terus mempertahankan prinsip pembangunan inklusif, kemakmuran bersama dan pembangunan mampan untuk rakyat Johor.

Katanya, gabungan itu juga komited menjamin hak semua lapisan masyarakat serta meneruskan agenda pembangunan negeri dan negara.

Malam tadi, Anwar melancarkan Jentera Pilihan Raya Negeri Johor 2026 dalam satu himpunan yang turut dihadiri pimpinan utama PH dan parti komponen Kerajaan MADANI sebagai tanda kesiapsiagaan menghadapi PRN Johor.

PRN Johor akan diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang diumumkan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, selepas mendapat perkenan Ibrahim Iskandar.

Pembubaran itu membuka laluan kepada pilihan raya negeri baharu bagi mendapatkan mandat rakyat untuk membentuk kerajaan negeri bagi penggal akan datang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hospital Melaka jadi penanda aras nasional, terima peruntukan khas RM1.6 juta

HOSPITAL Melaka akan dijadikan penanda aras mandatori bagi pelaksanaan model pengurusan hospital di seluruh negara susulan kejayaannya mengurangkan kesesakan...

More Articles Like This