ݢاليري نوسنتارا ايڤيسود 15
سوڠکيت مروڤاکن ساله ساتو واريثن سني بڠسا ملايو. اي مروڤاکن سجنيس کاءين تنونن, دحاصيلکن سچارا تراديسيونل مڠݢوناکن بنڠ امس اتاو ڤيراق.
نام سوڠکيت دکاتاکن براصل درڤد بهاس سيام ’کيک‘ يڠ برمقصود ’مڽوڠکيت‘. اد جوݢ کاجين مڠاتاکن, نام سوڠکيت ممڤوڽاءي مقصود يڠ سام دري نݢارا چينا ياءيت ’سوڠکوق‘.
ترداڤت جوݢ ڤنليتين مڠاتاکن ايستيله ’سوڠکيت‘ براصل درڤد ݢابوڠن ڤرکاتاءن ’سوڠسوڠ‘ دان ’تيکيت‘ ياءيت بهاس مشارکت ڤاليمبڠ. اي مڠݢمبرکن ڤربواتن مڠاءيت, مڽوڠݢيت اتاو منچوڠکيل يڠ دجاديکن ميتود دالم ڤمبواتن کاءين سوڠکيت. اد جوݢ تيوري مڠاتاکن ايستيله سوڠکيت براصل درڤد ڤرکاتاءن ’سوڠخا‘ ياءيت سجنيس ساروڠ کڤالا دڤاليمبڠ.
اصل اصول کداتڠن کاءين سوڠکيت تيدق داڤت دڤستيکن دڠن تڤت. اد يڠ مڠاتاکن تيکنيک مننون سوڠکيت اين موڠکين دأمبيل درڤد اورڠ چينا يڠ ممڤرکنلکن باهن لوݢم. نامون, کماسوقن بوداي تيمور تڠه, ڤرسي, تورکي دان موݢول لبيه مڠواتکن لاݢي دالم سجاره ڤڠحاصيلن سوڠکيت اين.
سلاءين ايت, ڤوست بندر ايمڤاير سريۏيجاي يڠ ݢه ڤد ابد ک-7 سهيڠݢ ابد ک-13, توروت دکاتاکن منجادي سوسور ݢالور دمان تراديسي سوڠکيت برمولا دعالم ملايو.
دمليسيا, سوڠکيت برکمبڠ ملالوءي اکتيۏيتي ڤرداݢڠن, ڤڽيبرن اݢام دان ڤرکهوينن چمڤور انتارا کلوارݢ دراج. سجاره جوݢ ممڤرليهتکن بهاوا تنونن سوڠکيت دهولو لبيه باڽق دأوسهاکن اوليه مريک يڠ تيڠݢل دکاوسن ڤسيسير ڤنتاي. اين کران مريک لبيه چڤت تردده کڤد ڤڠاروه لوار تراوتام ملالوءي ڤارا ڤداݢڠ.
منوروت محمد انيس عبدالصمد, کوراتور موزيوم ايتنوݢرافي ملايو, اونيۏرسيتي ملايا, سوڠکيت بوليه دتموءي دالم رومڤون ملايو (مليسيا, ايندونيسيا, بروني دان سيڠاڤورا). سکالي ايمبس, اي نمڤق سأکن سام, تتاڤي ممڤوڽاءي ڤربيذاءن دري سݢي جنيس کاءين داسر, ڤڠݢوناءن بنڠ, جنيس موتيف دان هياسنڽ.
“دهولو, سوڠکيت اين بوليه دکاتاکن سباݢاي ڤاکاين عادت. اي دڤاکاي بيلا اد مجليس٢ راسمي سڤرتي دأيستان, مجليس عادت دان ڤرکهوينن. بوکن دجاديکن ڤاکاين هارين,” کات محمد انيس.
ڤد زمان دهولو, سوڠکيت دأڠݢڤ سباݢاي فبريق ميواه يڠ مڠݢمبرکن ستروکتور سوسيال سي ڤماکايڽ. کتيک ايت, سوڠکيت دتنون مڠݢوناکن بنڠ امس دان سوترا. اي جوݢ ملامبڠکن کهالوسن سني تنونن ملايو.
ڤد زمان سيلم, موتيف دان ورنا ڤد سوڠکيت جوݢ ملامبڠکن کدودوقن سسأورڠ. سباݢاي چونتوه, سوڠکيت يڠ دتنون دڠن بنڠ سوترا دان بنڠ امس هاڽ دڤاکاي اوليه ݢولوڠن راج دان بڠساون.
تيݢ چورق اوتام يڠ منجادي ايدينتيتي بڠسا ملايو دالم تنونن سوڠکيت اياله سوسونن بوڠا ڤنوه, بوڠا تابور دان سوسونن برچورق. ماناکالا موتيف يڠ ترکنل دالم سوڠکيت ملايو اياله موتيف فلورا, فاونا, کوسموس, جيوميتريک, ماکنن دان کاليݢرافي.
ڤد هاري اين, سوڠکيت ماسيه تروس دݢونا ڤاکاي دان منجادي ساله ساتو کسنين واريثن يڠ برتاهن مرنتسي زمان. تيدق هاڽ دڤاکاي اوليه ݢولوڠن ترتنتو سڤرتي زمان دهولو, کيني سسياڤا سهاج بوليه مماکايڽ.
سأيريڠ دڠن ڤرايدرن زمان, سوڠکيت تيدق هاڽ دجاديکن کاءين سمات-مات, تتاڤي جوݢ دحاصيلکن سباݢاي چندراهاتي, هياسن ماله اونتوق کݢوناءن مودن سڤرتي بيݢ تاڠن, سوڠکوق دان سباݢايڽ.
نوتا ڤڠارڠ: ببراڤ هلاي کاءين سوڠکيت يڠ براوسيا لبيه تيݢ ديکد انتارا کوليکسي يڠ ترداڤت دݢاليري نوسنتارا يڠ ترلتق دکومڤليک س کيمبل, کوالا لمڤور. کوليکسي اين اداله ميليق الله يرحم داتوء شهراني عبدالله, ڤڠاساس شاڤادو ݢروڤ.
GALERI NUSANTARA 15
SONGKET
Warisan Kesenian Alam Melayu
Songket merupakan salah satu warisan seni bangsa Melayu. Ia merupakan sejenis kain tenunan, dihasilkan secara tradisional menggunakan benang emas atau perak.
Nama SONGKET dikatakan berasal daripada bahasa Siam ‘KEK’ yang bermaksud ‘menyungkit’. Ada juga kajian mengatakan, nama SONGKET mempunyai maksud yang sama dari negara China iaitu ‘songkok’.
Terdapat juga penelitian mengatakan istilah ‘songket’ berasal dari gabungan perkataan ‘songsong’ dan ‘teket’ iaitu bahasa masyarakat Palembang. Ia menggambarkan perbuatan mengait, menyunggit atau mencungkil yang dijadikan metod dalam pembuatan kain songket. Ada juga teori mengatakan istilah songket berasal daripada perkataan ‘songkha’ iaitu sejenis sarung kepala di Palembang.
Asal usul kedatangan kain songket tidak dapat dipastikan dengan tepat. Ada yang mengatakan teknik menenun songket ini mungkin diambil daripada orang China yang memperkenalkan bahan logam. Namun, kemasukan budaya Timur Tengah, Parsi, Turki dan Moghul lebih menguatkan lagi dalam sejarah penghasilan songket ini.
Selain itu, pusat bandar empayar Srivijaya yang gah pada abad ke-7 sehingga abad ke-13, turut dikatakan menjadi susur galur di mana tradisi songket bermula di alam Melayu.
Di Malaysia, songket berkembang melalui aktiviti perdagangan, penyebaran agama dan perkahwinan campur antara keluarga diraja. Sejarah juga memperlihatkan bahawa tenunan songket dahulu lebih banyak diusahakan oleh mereka yang tinggal di kawasan pesisir pantai. Ini kerana mereka lebih cepat terdedah kepada pengaruh luar terutama melalui pada pedagang.
Menurut Mohammad Anis Abdul Samad, Kurator Muzium Etnografi Melayu, Universiti Malaya, songket boleh ditemui dalam rumpun Melayu (Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura). Sekali imbas, ia nampak seakan sama, tetapi mempunyai perbezaan dari segi jenis kain dasar, penggunaan benang, jenis motif dan hiasannya.
“Dahulu, songket ini boleh dikatakan sebagai pakaian adat. Ia dipakai bila ada majlis-majlis rasmi seperti di istana, majlis adat dan perkahwinan. Bukan dijadikan pakaian harian,” kata Mohammad Anis.
Pada zaman dahulu, songket dianggap sebagai fabrik mewah yang menggambarkan struktur sosial si pemakainya. Ketika itu, songket ditenun menggunakan benang emas dan sutera. Ia juga melambangkan kehalusan seni tenunan Melayu.
Pada zaman silam, motif dan warna pada songket juga melambangkan kedudukan seseorang. Sebagai contoh, songket yang ditenun dengan benang sutera dan benang emas hanya dipakai oleh golongan Raja dan bangsawan.
Tiga corak utama yang menjadi identiti bangsa Melayu dalam tenunan songket ialah susunan bunga penuh, bunga tabur dan susunan bercorak. Manakala motif yang terkenal dalam songket Melayu ialah motif flora, fauna, kosmos, geometrik, makanan dan kaligrafi.
Pada hari ini, songket masih terus diguna pakai dan menjadi salah satu kesenian warisan yang bertahan merentasi zaman. Tidak hanya dipakai oleh golongan tertentu seperti zaman dahulu, kini sesiapa sahaja boleh memakainya.
Seiring dengan peredaran zaman, songket tidak hanya dijadikan kain semata-mata, tetapi juga dihasilkan sebagai cenderahati, hiasan malah untuk kegunaan moden seperti beg tangan, songkok dan sebagainya.
NOTA PENGARANG : Beberapa helai kain songket yang berusia lebih tiga dekad antara koleksi yang terdapat di Galeri Nusantara yang terletak di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur. Koleksi ini adalah milik Allahyarham Dato’ Shahrani Abdullah, pengasas Shapadu Group.

