SELEWAT-LEWATNYA 31 Julai ini. Itu harapan UMNO terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk memberi keputusan berhubung notis pindaan perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan parti itu.
Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, hal itu untuk membolehkan parti tersebut membuat persiapan yang diperlukan.
Jelas beliau, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga sudah menulis surat kepada RoS pada hujung Jun Lalu berhubung perkara tersebut.
”Surat itu bertujuan untuk meminta jasa baik RoS memberikan keputusan berkenaan perkara tersebut sebelum atau pada 31 Julai ini.
”Kita memerlukan keputusan sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ daripada RoS, hingga 31 Julai ini.
”Kita tidak mendesak apa-apa, namun jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ itu penting kerana parti perlu membuat persiapan untuk mengadakan mesyuarat,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Baca artikel berkaitan: PKR terima notis RoS jelaskan aduan pemilihan parti
Mengulas mengenai kebarangkalian pindaan itu tidak diluluskan, Mohammad berkata, pemilihan perlu diadakan kerana tempoh penangguhan 18 bulan akan berakhir hujung tahun ini.
Jelas beliau, UMNO memerlukan masa untuk menggerakkan mesyuarat memandangkan parti itu mempunyai 22,000 cawangan di seluruh negara.
“Maknanya, kita memerlukan respons awal daripada RoS. Sama ada (notis) lulus ataupun tidak, itu terpulang kepada RoS.
“Kita memerlukan jawapan dan tunggu hingga 31 Julai ini. Namun, tarikh 31 Julai jatuh pada hari minggu. Kalau boleh, kita (berharap) mendapat surat (jawapan), hari ini.
“Kita tidak memaksa atau memberi tekanan kepada RoS, namun jawapan awal itu akan dapat memudahkan UMNO untuk membuat persiapan berkaitan urusan parti kerana penggal penangguhan terbabit akan berakhir pada hujung tahun ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

