Usahawan yang juga pengasas jenama tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim GAMBAR: Abd Razak Aid

USAHAWAN, Mawar Abdul Karim hari ini berjaya dalam permohonannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar diperoleh ahli perniagaan Nabil Mat Jahya supaya wanita itu membayar balik pinjaman persahabatan berjumlah RM720,000 selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman berkenaan.

Nabil yang menyaman Mawar menuntut wang berjumlah RM720,000 yang diberikan kepada wanita itu, selaras dengan Perjanjian Pinjaman Persahabatan yang dipersetujui dan ditandatangani oleh mereka.

Peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Mawar berkata pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Effandi Nazila Abdullah secara dalam talian, hakim itu membenarkan permohonan defendan (Mawar) untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu.

“Lanjutan daripada keputusan itu, Mawar akan memfailkan pernyataan pembelaan dan tuntutan balas terhadap pihak yang dinamakan dalam kes ini dalam masa 14 hari bermula hari ini,” kata Mohd Imran ketika dihubungi.

Perkara itu turut disahkan peguam Nik Zarith Nik Moustpha yang mewakili Nabil.

Pada 11 Jan lepas, Nabil selaku plaintif diberi kebenaran oleh mahkamah untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Mawar, selepas beliau gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkan plaintif.

Baca: Mawar Karim nafi muflis, emosi terganggu

Pengasas jenama tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim bersama barisan penguamnya mengadakan sidang media berkaitan satu tindakan tuntutan saman sivil berjumlah RM720,000 di Kuala Lumpur, April lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sementara itu, Mawar dalam afidavit sokongan untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu berkata beliau tidak pernah sama sekali menerima salinan termeterai penghakiman ingkar itu daripada plaintif atau peguamnya, pada setiap masa yang material sehingga notis pelantikan peguam bertarikh 14 April lepas difailkan oleh peguamnya.

Dalam saman difailkan pada Disember 2021, Nabil mendakwa dalam perjanjian itu defendan antaranya perlu membayar semula RM100,000 sebelum atau pada setiap 1 haribulan selama enam bulan berturut-turut bermula 1 Jun 2021, manakala bagi bulan terakhir iaitu bulan ketujuh, Mawar hendaklah membayar RM120,000 sebagai bayaran terakhir terhadap pinjaman wang tersebut.

“Bagaimanapun, sehingga ke tarikh pemfailan writ dan pernyataan tuntutan ini, defendan gagal untuk membayar balik keseluruhan pinjaman itu seperti yang termaktub di dalam perjanjian tersebut, walaupun beberapa kali dituntut dan diminta oleh saya atau wakil saya,” kata Nabil dalam pernyataan tuntutannya.

— BERNAMA