“Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya? “Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Rabbku; tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba”. Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” (Al-A’raf:187)
Apabila berbicara tentang hari kiamat, pasti yang pertama terlintas di fikiran adalah bilakah hari pembalasan itu akan berlaku? Bukan sahaja kita pada hari ini, tapi sejak zaman Rasulullah s.a.w. terdahulu lagi persoalan tentang bilakah berlakunya kiamat sering diutarakan.
Tetapi persoalan itu tetap tiada jawapan walaupun terus menerus ditanya. Bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri tidak mengetahui bilakah tarikh tepat berlakunya hari pembalasan buat seluruh manusia. Semua itu tersimpan kemas dan tetap utuh menjadi rahsia Allah taala.
Menerusi firman di atas, jelas Allah menegaskan bilakah berlakunya kiamat itu adalah di dalam pengetahuan Nya. Meskipun begitu, kasih sayang Allah dan Rasulullah s.a.w. kepada kita semua melebihi segalanya. Walaupun tarikh tepat berlakunya kiamat masih lagi menjadi ‘misteri’, tetapi Rasulullah sering mengingatkan kepada kita tanda-tanda akan berlakunya hari tersebut supaya berwaspada dan bersiap sedia.
Menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad, Nabi s.a.w. menceritakan tentang fasa masa yang dilalui umat ini sebelum datangnya kiamat. Daripada Huzaifah r.a. sabda Rasulullah s.a.w.
“Zaman kenabian itu berada di kalangan kalian selama mana menurut kehendak Allah. Allah mengangkatnya apabila dia hendak mengangkatnya. Kemudian zaman khilafah yang berada di atas jalan kenabian, berada di kalangan kalian selama mana menurut kehendak Allah. Allah mengangkatnya apabila dia hendak mengangkatnya.
Kemudian zaman pemerintahan yang menggigit berada di kalangan kalian selama mana menurut kehendak Allah. Allah mengangkatnya apabila dia hendak mengangkatnya. Kemudian zaman khilafah yang berada di atas jalan kenabian berada di kalangan kalian selama mana menurut kehendak Allah. Allah mengangkatnya apabila dia hendak mengangkatnya. Kemudian Baginda s.a.w. pun diam. (HR imam Ahmad)”
Berdasarkan hadis itu, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn Bhd, Dato Dr. Danial Zainal Abidin memberitahu melalui penjelasan Rasulullah s.a.w. itu, kita sebenarnya semakin hampir dengan hari kiamat.
Fasa-fasa masa disebut oleh Baginda adalah sebagai petanda perjalanan bagi umat manusia menuju ke pengakhiran hidup ini. Ia bermula dengan Rasulullah s.a.w. dan kemuncaknya juga dengan khilafah yang dipimpin oleh Imam Mahdi dan nabi Isa a.s. berlandaskan syariat Nabi Muhammad s.a.w.
Mengenai fasa masa pertama, ia disebut sebagai zaman nubuwwah, iaitu zaman kenabian yang telah bermula sejak Rasulullah s.a.w. diutuskan dan berlanjutan selama 23 tahun selama Rasulullah s.a.w. berdakwah 10 tahun di Mekah dan 13 tahun di Madinah.
Manakala fasa masa kedua pula berlaku selepas wafatnya Baginda s.a.w. iaitu ketika wujudnya pemerintahan khalifah. Seperti yang kita maklum, terdapat empat Khalifah ar-Rasyidin memimpin umat terdahulu yang terdiri daripada khalifah Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Zaman itu dikenali sebagai Khalifah manhaj Nubuwwah yang mengambil masa selama 30 tahun pada ketika itu.

Jika fasa masa pertama dan kedua dilihat berlaku tidak begitu lama, tetapi ia berbeza dengan fasa masa ketiga. Disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai Mulkan ‘Addho yang berlangsung sangat panjang tempohnya iaitu selama 1262 tahun yang membabitkan terutamanya kerajaan Umayyah, Abasiyah dan Uthmaniyah.
Mulkan jabriyyah
Tutur Dr. Danial lagi, umat manusia khususnya orang Islam hidup dalam keadaan mencabar pada hari ini. Apatah lagi apabila membicarakan tentang kita berada di fasa masa yang keempat iaitu disebut Mulkan Jabriyyah oleh Rasulullah s.a.w.
Istilah itu diterjemahkan sebagai pemerintahan yang berbentuk kuku besi yang tinggi kezalimannya. Ianya bukan bermaksud langsung tiada kebaikan dan perkara positif di era ini, tetapi kepimpinan yang ada zaman ini dipelopori atau didominasi oleh kekejaman kuku besi.
Oleh hal demikian, umat Islam yang ada pada zaman fasa masa keempat ini perlu hadapi kehidupan dengan satu kekuatan. Tidak lain tidak bukan satu-satunya kekuatan yang boleh menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat adalah kekuatan iman.
Zaman Mulkan Jabriyyah atau pemerintahan kuku besi yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. itu bermula sejak keruntuhan empayar Uthmaniyah pada tanggal 3 Mac 1924. Ketika itu individu bernama Mustapha Kamal Attartuk yang bertanggungjawab menghancurkan syariat islamiyah sehinggakan konsep yang dibawanya itu berkembang ke pelusuk dunia termasuk dunia Islam.
Bermulanya di situ, era kegemilangan Islam mula menjadi kelam sedikit demi sedikit dan ianya semakin teruk dan berterusan sehingga sekarang. Syariat bukan lagi satu kepentingan kepada pemimpin dan konsep itu menular hingga kepada rakyat biasa. Manakala politik pula dianggap hanya untuk mengukuhkan kedudukan dalam masyarakat demi kepentingan pangkat, darjat dan kekayaan, bukannya berpolitik untuk menjadi khalifah Allah di bumi ini.
Akhirnya, lahirlah Islam bebas, Islam liberal, dan kedudukan al-Quran bukanlah di peringkat tertinggi dalam dijadikan rujukan, tetapi lebih kepada barang pameran. Apa yang diangkat sebagai pegangan adalah formula-formula ciptaan manusia yang mengetepikan kehendak Allah dan Rasulullah s.a.w. tetapi lebih mengutamakan syahwat manusia.
Itu yang disebut sebagai Mulkan Jabriyyah! Zaman penuh dengan kejahatan dan penuh dengan tipu muslihat sehingga mereka yang beriman dan berpaksi pada al-Quran serta sunnah pasti dikeji, diejek dan dilabel dengan pelbagai kenyataan yang tidak baik. Ekoran daripada itu juga maka wujudnya pelbagai kenyataan seperti al-Quran merangsang manusia menjadi pengganas dan label Islam pengganas.
“Itulah yang kita hadapi pada hari ini!” Tegas Dr. Danial.
Perkara itu bukan hanya omong kosong Rasulullah s.a.w. pada suatu ketika dahulu, tetapi ianya benar-benar berlaku dan menghimpit kita semua pada hari ini. Pemerintahan yang menghimpit dan menindas ini boleh dilihat secara jelas di sekeliing kita.
AS kuasa dunia
Jika ingin bukti atau contoh agar kenyataan itu tidak nampak seakan diolok-olokan, paling jelas boleh dilihat hari ini adalah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang padanya kita lihat adalah sebuah kuasa besar, tetapi hakikatnya ia adalah topeng yang didiami oleh satu kuasa veto.

Seandainya PBB ini menyebut tentang demokrasi dan perjuangan hak asasi manusia, tetapi jelasnya kuasa veto tidak menjurus kepada perkara tersebut dan menjadikan laungan itu sekadar di mulut, bukannya berbekas di hati dengan tindakan yang sewajarnya.
Disebabkan itu apabila Israel melakukan kezaliman terhadap Palestin, terdapat desakan-desakan dari pemimpin Islam sedunia dan akhirnya PBB melakukan resolusi kononnya mereka juga memandang serius perkara itu. Akan tetapi resolusi itu tidak akan memberi sebarang makna jika Amerika Syarikat (AS) tidak bersetuju dengannya kerana AS adalah satu-satunya kuasa veto terhadap dunia. Kesannya, sehingga ke hari ini Palestin masih menjadi mangsa Israel di bumi sendiri!
Di tempoh fasa masa ini juga, Islam diberikan tekanan dari segenap segi. Islam dilihat sebagai agama yang jahat dan dilabel sebagai pengganas. Ia bukan memburukkan imej orang Islam itu sendiri, bahkan memberi pandangan negatif terhadap orang bukan Islam untuk mengenali agama yang hakiki ini.
Apabila ada orang Islam bertindak di luar kemanusiaan, mereka terus dihimpit dan dikecam serta meletakkan kesalahan itu pada agama, bukan individu. Kesalahan yang kecil digembar gemburkan dan ditekan-tekan dengan kenyataan Islam mengajar penganutnya untuk berbuat kerosakan di bumi ini dan bersikap ganas terhadap masyarakat lain.
Ianya berbeza apabila penganut agama lain yang membuat kesalahan, mereka tidak akan dikaitkan dengan agama dan masyarakat menganggap sikap individu itu sendiri yang mempengaruhi perangainya. Wallahu a’lam
_____________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

