AMERIKA Syarikat (AS) dilapor telah merampas sebuah kapal kargo milik Iran dengan Republik Islam itu memberi amaran untuk bertindak balas.
Memetik laporan Reuters, tentera AS mengesahkan telah menembak sebuah kapal kargo berbendera Iran ketika kapal itu belayar menuju Pelabuhan Bandar Abbas, Iran.
Presiden AS, Donald Trump memaklumkan bahawa tentera negara itu telah bertindak memintas kapal kargo berkenaan.
“Hari ini, sebuah kapal kargo berbendera Iran bernama TOUSKA … cuba melepasi sekatan laut kami, dan ia tidak berjalan lancar untuk mereka,” kata Trump menerusi platform Truth Social.
Beliau juga berkata kapal itu mengabaikan amaran AS supaya berhenti, sambil mendakwa sebuah kapal tentera laut AS menghentikan pergerakan mereka serta-merta dengan menyerang bilik enjin.
Tentera Iran menegaskan bahawa kapal tersebut telah belayar dari China dan memberi amaran akan bertindak balas terhadap langka AS tersebut.
Media Iran turut melaporkan bahawa Tehran telah menolak rundingan damai baharu.
Tindakan dilakukan AS itu menimbulkan kemungkinan bahawa gencatan senjata antara kedua-dua negara itu mungkin tidak akan bertahan walaupun hanya tinggal dua hari untuk terus berkuat kuasa.
Usaha untuk membina keamanan yang berkekalan di rantau itu juga kelihatan goyah dengan Iran dilapor tidak akan menyertai pusingan kedua rundingan damai sebelum gencatan senjata tamat esok.
Trump sebelum ini memberi amaran kepada Iran bahawa AS akan memusnahkan setiap jambatan dan loji kuasa di Iran jika Tehran menolak syarat diletakkan Presiden AS tersebut.
Iran pula membalas akan menyerang stesen janakuasa dan loji penyulingan yang berada di negara-negara jiran sekitar Teluk Arab sekiranya AS menyerang infrastruktur awam miliknya.

