[VIDEO] Azmi Saat berdamai dengan takdir, enggan terus meratapi pemergian anak

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PERNAH melalui episod duka apabila kehilangan anak tersayang, namun ia tidak sesekali mematahkan semangat Azmi Saat untuk bangkit daripada kesedihan.

Meskipun kehilangan permata hati yang sudah lama dinantikan itu menggores jiwa dan sanubarinya, penyanyi yang popular bersama kumpulan Caliph Buskers ini bagaikan sudah berdamai dengan takdir itu.

Bangkit daripada segala kesedihan, dia kini tampil dengan lagu berjudul Permataku sebagai buah tangan untuk peminat setia.

Lagu ciptaan Ajai itu bagaikan bercerita apa yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Sebenarnya lagu ini sudah ada sebelum anak saya lahir lagi. Saya dan Ajai berbincang untuk merakamkan sebuah lagu sempena kelahiran orang baharu ketika itu.

“Apabila anak hanya sempat melihat dunia seketika sahaja, kami ada berbincang semula mengenai lirik dan sebagainya. Daripada perbincangan itulah kami mengubah sedikit hujung lagu ini sebagai ‘tanda’ kehilangan.

“Apa-apa pun lagu ini bukanlah berkisahkan tentang kehilangan anak sahaja. Apa-apa keadaan pun kita boleh kaitkan berdasarkan pemahaman masing-masing,” katanya kepada URTV.

Pun begitu Azmi bersyukur kerana dapat melalui semua proses menyambut kelahiran anak dan merasai detik indah menjadi bapa meskipun seketika.

Dia juga berbesar hati apabila Ahmad Fedtri Yahya menterjemah apa yang telah dirasai dan sedang dilalui menerusi bait-bait lirik yang begitu indah dan mencengkam jiwanya.

Bagai mengerti apa yang dilalui, Permataku memberikan Azmi seribu satu rasa yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata sementelah dia melalui episod kehilangan permata hatinya, Khairul Afnan, setelah 10 tahun menanti.

Bayi lelaki yang dilahirkan pada 27 September 2021 hanya bertahan selama tiga hari sahaja dan pergi buat selama-lamanya, meninggalkan seribu satu duka kepada mereka suami isteri.

“Apabila mendengarkan sahaja lirik tersebut buat kali pertama, saya gembira sebab ia memang merupakan isi hati saya. Tak ada sebarang perubahan yang dilakukan kerana saya percaya ini yang terbaik.

“Tapi apabila kami memulakan penggambaran video muzik (MV), pihak produksi ada bertanyakan sama ada boleh mengaitkan gambaran anak atau tidak. Saya okay sahaja memandangkan ini memang idea asal.

“Mungkin mereka risau saya akan bersedih dan sebagainya,” katanya dengan harapan sambutan hangat akan diberikan oleh peminat.

Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai pula, Azmi bersyukur kerana banyak diberikan tunjuk ajar oleh komposer berpengalaman berkenaan sepanjang proses rakaman berlangsung.

Ajai bukan sahaja memberikan banyak ilmu baharu kepadanya malah memberikan semangat kepadanya untuk terus kuat dalam menghadapi episod duka pasca kehilangan insan tersayang.

“Ini merupakan kerjasama pertama saya dengan Ajai. Memang pada awalnya saya berdebar memandangkan ramai yang menganggap dia garang ketika menjadi juri untuk kebanyakan program televisyen.

“Tapi bila sudah berjumpa, sangat berbeza. Dia banyak memberikan ilmu baharu kepada saya dan mengajar banyak teknik nyanyian serta memperbetulkan mana yang kurang,” tambah Azmi lagi.

Dilancarkan secara rasmi pada 22 Julai, Permataku merupakan terbitan INISIATIF SENI KREATIF (ISK) dan edaran Indigital Music.

Lagu ini sudah berada disemua platform digital dan MV pula boleh ditonton melalui YouTube saluran Indigital Music.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This