INISIATIF pembelian dalam talian, ASEAN Online Sale Day (AOSD) berlangsung mulai hari ini hingga 10 Ogos bagi memberi peluang perniagaan di seluruh rantau ini mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka.

Ia bertujuan meningkatkan jualan semua perniagaan dan dalam masa yang sama membantu merangsang pertumbuhan pemulihan ekonomi bagi negara-negara ASEAN.

Ini merupakan tahun ketiga inisiatif AOSD dianjurkan di rantau ASEAN sejak 2020. Pada tahun ini, program berkenaan akan dihoskan oleh Vietnam, Kemboja dan Singapura.

Perniagaan dan platform e-dagang yang terkemuka dari 10 buah negara ASEAN akan melancarkan satu siri program membeli-belah dengan diskaun istimewa dan pelbagai ganjaran akan ditawarkan kepada pembeli di rantau ini.

Sebahagian daripada perniagaan yang terlibat akan turut melaksanakan program membeli-belah dalam talian merentas sempadan di seluruh rantau ini.

AOSD ialah antara inisiatif utama yang diluluskan di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) yang ditubuhkan selepas berlakunya pandemik oleh negara-negara anggota ASEAN dengan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN (ACCEC) bertindak sebagai pengelola utama.

Pasukan petugas Malaysia yang mengetuai AOSD diwakili oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

MDEC akan bekerjasama rapat dengan MITI dan MATRADE dengan memberi sokongan dari segi hubungan yang kukuh dengan rakan kongsi e-Dagang tempatan.

Baca artikel berkaitan: MDEC umum GLOW Aspirasi, bantu rakyat Malaysia jadi ‘freelance’ digital di peringkat global

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata pandemik ini telah menarik minat lebih ramai pengguna mengadaptasi penggunaan e-Dagang dan pembelian dalam talian.

Inisiatif serantau ini memberi peluang kepada perniagaan di Malaysia untuk meluaskan pasaran mereka dengan menarik pelanggan baharu dan membuka pasaran baharu untuk perniagaan mereka.

“e-Dagang telah menjadi platform yang penting bagi syarikat yang ingin melabur dalam transformasi digital mereka. Syarikat yang berbuat demikian, berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk berjaya pada masa hadapan,” kata beliau.

Penganjuran AOSD pada tahun lalu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penglibatan sebanyak 54 rakan kongsi e-Dagang dari Malaysia, sekali gus menyumbang jualan dengan nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak RM82.5 juta dengan RM17.2 juta daripadanya adalah nilai eksport.

“Walaupun berdepan dengan kekangan pandemik, AOSD telah berjaya mencapai matlamatnya dan pada tahun ini, kami menjangkakan lebih banyak penyertaan daripada pemain e-Dagang tempatan dan serantau akan direkodkan,” tambah Mahadhir.

Selain Malaysia, negara ASEAN lain yang menyertai AOSD adalah Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Untuk maklumat lanjut mengenai AOSD, sila layari: http://aseanonlinesaleday.com/

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram