مرديک 65 تاهون

ايڤيسود 2

تونکو عبدالرحمن ڤوترا الحج بوکنله نام اسيڠ دالم ليڤتن سجاره مليسيا. مروڤاکن ڤردان منتري مليسيا يڠ ڤرتام, بلياو جوݢ اورڠ ڤنتيڠ دالم مماءينکن ڤرانن اونتوق منداڤتکن کمرديکاءن تانه ملايو درڤد ڤيهق ڤنجاجه.

دڠن کبيجقساناءنڽ, تونکو عبدالرحمن تله برجاي ممباوا کمرديکاءن ملالوءي ڤرونديڠن تنڤا منيتيسکن داره. کويباواءنڽ جوݢ برجاي مڽاتوڤادوکن ڤندودوق نݢارا اين يڠ ترديري درڤد ڤلباݢاي قوم.

تونکو عبدالرحمن ڤوترا الحج, ابن المرحوم سلطان عبدالحميد شاه لاهير ڤد 8 فيبرواري 1903 دأيستان تيݢ تڠݢا (جوݢ دکنلي سباݢاي ايستان ڤلامين) دألور ستر, قدح.

بلياو مروڤاکن انق للاکي کتوجوه دان انق يڠ ک-20 کڤد سلطان عبدالحميد حاليم شاه ياءيت سلطان قدح يڠ ک-24. ايبوڽ, چيق مڽيلارا مروڤاکن ايستري سلطان عبدالحميد يڠ تيدق برداره  ݢاهارا.

تونکو ممولاکن ڤنديديقن ڤد 1909 دسبواه سکوله رنده ملايو دجالن بهارو دألور ستر. کمودين, بلياو برڤينده کسکوله ايڠݢريس يڠ هاري اين دکنلي سباݢاي کوليج سلطان عبدالحميد.

تونکو جوݢ ڤرنه منتڤ دان بلاجر دبڠکوق, تايلند. سلاءين ايت, بلياو ڤرنه ملنجوتکن ڤلاجرن کيونايتد کيڠدم دان ايڠݢلند.

ستله ڤولڠ کتانهاءير ڤد 1949, تونکو برتوݢس دڤجابت ڤݢاواي اوندڠ٢ دألور ستر. بلياو کمودين برڤينده ککوالا لمڤور منجادي تيمبلن ڤندعواراي دان کمودين دلانتيق سباݢاي يڠ دڤرتوا محکمه سيشن.

تونکو مڽرتاءي امنو يڠ کتيک ايت دکتواءي اوليه داتوء عون جعفر اونتوق مننتڠ ملايان يونيان. اڤبيلا داتوء عون ملتقکن جاوتن, تونکو دلانتيق منجادي ڤريسيدن دان ممݢڠ جاوتن ايت سلاما 20 تاهون.

ستله تامت ڤرڠ دنيا يڠ کدوا, تونکو اکتيف مڽرتاءي ڤوليتيک اونتوق مننتڠ ملايان يونيان دان ممبڠکيتکن کسدرن رعية اونتوق منونتوت کمرديکاءن.

رومبوڠن ڤرتام ڤريکتن يڠ دکتواءي تونکو تله ڤرݢي کلندن ڤد تاهون 1954 اونتوق ممينتا کمرديکاءن تتاڤي تيدق براوليه کجاياءن.

ڤد تاهون 1956, تونکو مڠتواءي رومبوڠن کلندن سمولا اونتوق بربينچڠ دڠن کراجاءن بريتيش مڠناءي کمرديکاءن تانه ملايو. توروت سرتا اياله امڤت اورڠ واکيل راج٢ ملايو دان امڤت اورڠ واکيل ڤارتي ڤرايکتن. رومبوڠن اين تله برجاي ميقينکن کراجاءن بريتيش سوڤاي منتڤکن تاريخ کمرديکاءن ياءيت ڤد 31 اوݢوس 1957.

ڤد 30 اوݢوس 1957, دڤادڠ کلب سلاڠور, کتيک جم تڤت ڤوکول 12 تڠه مالم, بنديرا تانه ملايو دناءيقکن, مڠمبيل تمڤت يونيان جيک.

اول ڤاݢي ايسوقڽ, ڤد تاريخ کرامت 31 اوݢوس 1957, دستاديوم مرديک, تونکو ممباچ ڤڠيشتهاراءن کمرديکاءن, کمودين دأيکوتي دڠن لاءوڠن “مرديک!” درڤد تونکو, برکومندڠ دسمبوت ݢمبيرا اوليه رعية جلات سام اد يڠ براد دستاديوم اتاو يڠ مڠيکوتي سيارن راديو.

تونکو منجادي ڤردان منتري ڤرسکوتوان تانه ملايو يڠ ڤرتام دري تاهون 1957 هيڠݢ 1963 دان ڤردان منتري مليسيا ڤرتام دري تاهون 1963 هيڠݢ 1970.

ڤد 22 سيڤتيمبر 1970, بلياو ملتقکن جاوتن سباݢاي ڤردان منتري دان دݢنتيکن اوليه تون عبدالرازق. سلڤس برسارا دري ڤوليتيک, تونکو دلانتيق منجادي ستياءوسها اݢوڠ ڤرسيدڠن نݢارا٢ اسلام يڠ ڤرتام سهيڠݢ 1974.

تونکو عبدالرحمن منيڠݢل دنيا ڤد 6 ديسيمبر 1990 دهوسڤيتل بسر کوالا لمڤور کتيک براوسيا 87 تاهون. جنازهڽ دسماديکن دمقام دراج لڠݢر, الوؤ ستر, قدح.

ميموريال تونکو عبدالرحمن ڤوترا

سمڤنا بولن کمرديکاءن اين, اندا بوليه ممباوا کلوارݢ تراوتاماڽ انق٢ برکونجوڠ کميموريال تونکو عبدالرحمن ڤوترا يڠ ترلتق دجالن داتوء عون, کوالا لمڤور.

ميموريال يڠ دراسميکن ڤد 1992 اين مڠهيمڤونکن ڤلباݢاي ارتيفک دان واريثن برکاءيتن تونکو يڠ ترديري درڤد دوکومن, ݢمبر, ڤاکاين, ڤرابوت, کندراءن دان بارڠن ڤريبادي کڤوڽاءن تونکو.

منوروت حنيزه جونوه, ڤڠاره ميموريال تونکو عبدالرحمن, ميموريال اين مرڠکومي تيݢ باڠونن اوتام. باڠونن ريسيدنسي يڠ براد دتڠه انتارا يڠ برسجاره کران باڠونن ايت ڤرنه منجادي کديامن تونکو سوقتو بلياو مڠݢالس توݢس سباݢاي ڤردان منتري مليسيا يڠ ڤرتام.

باڠونن ريسيدنسي براوسيا لبيه 100 تاهون ايت ماسيه دککلکن بنتوق دان ستروکتور اصلڽ. دفهمکن, باڠونن ايت اصلڽ مروڤاکن بکس کديامن ربسيدن بريتيش دهولو.

منوروت حنيزه, ترداڤت باڽق بارڠ ڤنيڠݢلن تونکو ددالم ريسيدنسي ايت يڠ ماسيه دککلکن سهيڠݢ سکارڠ اونتوق تاتڤن ڤلاوت. اين ترماسوق ڤرابوت يڠ دݢوناکن سماس تونکو منتڤ دکديامن اين.

ماله, ڤجابت ڤرتام تونکو برسرتا ميجا کتيک کالي ڤرتام تونکو برمشوارت برسام کابينيت ڤرتاماڽ سلڤس مرديک توروت اد دسيني.

والاوڤون تونکو سوده تياد لاݢي, نامون ڤرجواڠنڽ داڤت کيت راساکن اڤبيلا برکونجوڠ کسيني.

MERDEKA 65 TAHUN

Laungan keramat Tunku Abdul Rahman

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bukanlah nama asing dalam lipatan sejarah Malaysia. Merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, beliau juga orang penting dalam memainkan peranan untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada pihak penjajah.

Dengan kebijaksanannya, Tunku Abdul Rahman telah berjaya membawa kemerdekaan melalui perundingan tanpa menitiskan darah. Kewibawaannya juga berjaya menyatupadukan penduduk negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah lahir pada 8 Februari 1903 di Istana Tiga Tangga (juga dikenali sebagai Istana Pelamin) di Alor Setar, Kedah. 

Beliau merupakan anak lelaki ketujuh dan anak yang ke 20 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, iaitu Sultan Kedah yang ke-24. Ibunya, Cik Menyelara merupakan isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara.

Tunku memulakan pendidikan pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu di Alor Setar. Kemudian, beliau berpindah ke sekolah Inggeris yang hari ini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. 

Tunku juga pernah menetap dan belajar di Bangkok, Thailand. Selain itu, beliau pernah melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dan England.

Setelah pulang ke tanahair pada 1949, Tunku bertugas di pejabat Pegawai Undang-Undang di Alor Setar. Beliau kemudian berpindah ke Kuala Lumpur menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.

Tunku menyertai UMNO yang ketika itu diketuai oleh Datuk Onn Jaafar untuk menentang Malayan Union. Apabila Datuk Onn meletakkan jawatan, Tunku dilantik menjadi presiden dan memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Setelah tamat perang dunia yang kedua, Tunku aktif menyertai politik untuk menentang Malayan Union dan membangkitkan kesedaran rakyat untuk menuntut kemerdekaan.

Rombongan pertama Perikatan yang diketuai Tunku telah pergi ke London pada tahun 1954 untuk meminta kemerdekaan tetapi tidak beroleh kejayaan.

Pada tahun 1956, Tunku mengetuai rombongan ke London semula untuk berbincang dengan Kerajaan British mengenai Kemerdekaan Tanah Melayu. Turut serta ialah empat orang wakil Raja-raja Melayu dan empat orang wakil Parti Perikatan. Rombongan ini telah berjaya meyakinkan Kerajaan British supaya menetapkan tarikh Kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos 1957.

Pada 30 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor, ketika jam tepat pukul 12 tengah malam, bendera Tanah Melayu dinaikkan, mengambil tempat Union Jack. 

Awal pagi esoknya, pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, di Stadium Merdeka, Tunku membaca Pengisytiharaan Kemerdekaan, kemudian diikuti dengan laungan “Merdeka!” daripada Tunku, berkumandang disambut gembira oleh rakyat jelata sama ada yang berada di stadium atau yang mengikuti siaran radio.

Tunku menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama dari tahun 1957 hingga 1963 dan Perdana Menteri Malaysia pertama dari tahun 1963 hingga 1970. 

Pada 22 September 1970, beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Tun Abdul Razak. Selepas bersara dari politik, Tunku dilantik menjadi Setiausaha Agong Persidangan Negara-Negara Islam yang pertama sehingga 1974.

Tunku Abdul Rahman meninggal dunia pada 6 Disember 1990 di Hospital Besar Kuala Lumpur ketika berusia 87 tahun. Jenazahnya disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra

Sempena bulan kemerdekaan ini, anda boleh membawa keluarga terutamanya anak-anak berkunjung ke Memorial Tunku Abdul Rahman Putra yang terletak di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

Memorial yang dirasmikan pada 1992 ini menghimpunkan pelbagai artifak dan warisan berkaitan Tunku yang terdiri daripada dokumen, gambar, pakaian, perabot, kenderaan dan barangan peribadi kepunyaan Tunku.

Menurut Hanizah Jonoh, Pengarah Memorial Tunku Abdul Rahman, memorial ini merangkumi tiga bangunan utama. Bangunan Residensi yang berada di tengah antara yang bersejarah kerana bangunan itu pernah menjadi kediaman Tunku sewaktu beliau menggalas tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama. 

Bangunan Residensi berusia lebih 100 tahun itu masih dikekalkan bentuk dan struktur asalnya. Difahamkan, bangunan itu asalnya merupakan bekas kediaman Residen British dahulu.

Menurut Hanizah, terdapat banyak barang peninggalan Tunku di dalam Residensi itu yang masih dikekalkan sehingga sekarang untuk tatapan pelawat. Ini termasuk perabot yang digunakan semasa Tunku menetap di kediaman ini.

Malah, pejabat pertama Tunku berserta meja ketika kali pertama Tunku bermesyuarat bersama kabinet pertamanya selepas merdeka turut ada di sini.

Walaupun Tunku sudah tiada lagi, namun perjuangannya dapat kita rasakan apabila berkunjung ke sini.