CUBA cubit sedikit kulit anda dan tarik, setakat mana kulit itu mampu meregang? Itupun rasanya sudah menyakitkan. Tapi, berbeza dengan lelaki ini yang mempunyai kebolehan unik apabila kulitnya mampu menjadi elastik dan ditarik selebar mungkin.

Garry Tuner merupakan satu-satunya lelaki yang mampu menarik kulit badannya sehingga mencecah ke muka. Kebolehan lelaki berasal dari England ini membolehkannya memegang rekod dunia Guinnes pada Oktober 1999 atas keupayaannya itu.

Kulit Garry terutama di bahagian perut boleh ditarik sehingga mencapai panjang 15.8 sentimeter. Jika dilihat dia menarik kulitnya, kita yang menyaksikan terasa ia sesuatu yang menyakitkan. Namun bagi lelaki ini, dia tidak pernah merasai sebarang kesakitan ketika melakukannya.

Gary mampu menarik kulitnya tanpa rasa sakit.
Mampu menarik kulit leher hingga menutup mulutnya.

Sebenarnya, kelebihan yang dimiliki Garry adalah kerana menghidap sejenis penyakit yang dikenali sebagai Ehlers-danlos Syndromem (EDS), iaitu penyakit yang mengganggu jaringan tisu-tisu penghubung dalam badan.

Tisu perantara ini membantu menyokong kulit, otot-otot, ligamen dan organ-organ dalaman. Tanpa tisu penghubung ini, ia akan menyebabkan kolagen yang bertanggungjawab sebagai agen penguat dan keanjalan pada kulit akan menjadi rosak. Malah, ia akan mengganggu bahagian-bahagian lain terutamanya sendi-sendi badan.

Walaupun Garry tidak merasa sakit ketika beraksi, namun jika kondisi kulitnya semakin lama semakin mengendur dan tidak anjal, ia boleh mendatangkan risiko yang akan mengakibatkan pembuluh darah di dalam badan pecah, dan akhirnya mendatangkan kecacatan dan kematian.

Selain Garry Turner, terdapat beberapa individu lain yang mempunyai tahap elastik kulit begini, Cuma daripada segi yang berbeza. Misalnya, seorang lelaki bernama Francisco Domingo Joaquim, pernah menjadi pemegang rekod mulut paling elastis di dunia. Domingo mampu membuat bukaan mulut sepanjang 6.69 inchi.

Begitu juga dengan Zlata, gadis yang berasal daripada Rusia yang mempunyai tahap keelastikan tubuh badan yang tinggi. Dia mampu melipat seluruh badannya untuk dimasukkan ke dalam sebuah kotak kecil berukuran 20 inci persegi. Ia adalah sesuatu yang mustahil bagi manusia normal untuk melakukan aksi seperti ini.

Namun, keistimewaan yang dimiliki oleh Zlata tidak berlaku secara serta merta. Dia menyedari tubuhnya mempunyai kebolehan membuat pergerakan yang begitu sejak berusia 14 tahun.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram