OLEH: PROF. TAN SRI DR. NOOR AZLAN GHAZALI
Saya ahli ekonomi, bukan pakar perfileman. Beberapa minggu yang lalu, sambil keluar dari pawagam menonton Mat Kilau – hati kecil saya berkata – ini satu ‘fenomena’ yang jauh dari sekadar filem hiburan.
Saya mengenali Datuk Rosyam Nor, Otai Perfileman-39 tahun dalam dunia perfileman, ketika lawatan Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) ke ladangnya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Lancang, Pahang untuk mendalami cabaran usahawan pertanian. Hebat Datuk Rosyam dengan daya keusahawanannya.
Datuk Rosyam menghubungkan saya dengan Syamsul Yusof, pengarah filem Mat Kilau. Saya kagum dengan otai dan pengarah muda ini, sangat merendah diri. Mungkin pelik-kenapa ahli ekonomi menghubungi mereka?
Bukan nak tumpang glamor tetapi saya nampak ‘fenomena’ yang dicetus Mat Kilau. Mesti diangkat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, seiring dengan gagasan Universiti Watan yang dilaung Datuk Naib Canselor. UKM dibina atas aspirasi rakyat Malaysia, meningkatkan kesejahteraan rakyat, terpahat di bumi Bangi.
Pada 9 Ogos yang lepas, Bicara Persada – Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan: Yang Tersurat dan Tersirat diadakan di Persada Canselori UKM, medan untuk berbincang ehwal semasa negara merangkumi pelbagai bidang-pendidikan, politik, sejarah, ekonomi, undang-undang, sains, budaya, sosial dan perdagangan. Tiga panel, Prof Emeritus Datuk Wan Hashim Wan Teh (Sarjana dan Pengkaji Filem serta mantan Timbalan Pengerusi FINAS), Syamsul Yusof, dan Datuk Rosyam, berbicara.
Mat Kilau memecah rekod ‘Box Office’ filem negara, sudah menghampiri kutipan RM100 juta, sekali ganda dari rekod sebelumnya, juga arahan Syamsul, Munafik 2, tahun 2018 dengan kutipan RM48 juta adalah sesuatu yang ‘luar biasa’. Pastinya bukan Syamsul seorang, penerbit, para pelakon dan semua krew penerbitan adalah pasukan hebat yang menjayakan Mat Kilau. Tahniah!
Kejayaan filem Mat Kilau memberi erti yang lebih dari sekadar hiburan. Apa yang Malaysia harus belajar dari Mat Kilau? Saya meneliti yang tersirat, khusus untuk membugarkan momentum pembangunan ekonomi negara.
Hampir di semua platform perbincangan ekonomi negara yang saya hadir, isu bakat dan keupayaan negara menyediakan tenaga kerja yang kreatif, berinovasi, berilmu, berkeusahawan, dan lasak adalah antara cabaran utama untuk Malaysia melonjak. Bakat yang hebat dan mencukupi adalah syarat wajib untuk Malaysia gerak ke hadapan. Jarang sekali bakat dari industri perfileman dan kreatif diketengahkan.
Otai Datuk Rosyam berkali-kali menceritakan pemerhatiannya ke atas Syamsul-pengarah muda yang sangat berdispilin, amat komited dan tegas, sangat teliti, daya kreativitinya hebat, berhari-hari mampu duduk fokus menyunting filem, mengadun dengan muzik latar untuk mendapat suntingan terbaik. “Aku pun dikerjakannya”, mengimbau lakonannya di bawah arahan Syamsul, KL Gengster. Berulang kali shoot untuk mencapai kualiti yang ingin dicapai. Minda dan sikap Syamsul yang kita hasratkan. Mampukah Malaysia melahirkan Syamsul dalam pelbagai bidang lain? Bagaimana?
Mungkinkah satu hari nanti filem arahan Syamsul mampu membawa balik trofi Anugerah Akademi Oscar ke Malaysia? Seperti Bong Joon-Ho, Pengarah filem Parasite, yang pertama memenangi Anugerah Oscar untuk Korea dalam tahun 2019. Bakat ‘luar biasa’ sedemikian jangan dibiar. Pengarah filem Hollywood ‘Fast and Furious 7’ yang ditonton seluruh dunia, adalah arahan James Wan, anak Malaysia dari Sarawak. Ramai tak tahu rasanya.
Terlalu kerap, anak Malaysia yang mencipta nama, kemungkinan besar berada di luar negara. Mengapa? Malaysia tiada ekosistem melahirkan bakat yang hebat? Kita bercakap tapi tak kisah? Banyak idea tapi tak buat? Cukupkah sekadar Talent Corporation diwujudkan? Sudah lama isu bakat keluar dari negara dikesan. Saya masih mendengar keluhan ketidakcukupan bakat di Malaysia. Kita masih leka bercakap tidak cukup pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia. Bakat yang kita ada, siapa yang jaga?
Wawasan 2020 sudah berlabuh. Matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi masih belum dicapai. Tanah yang luas, penduduk yang ramai, sumber asli yang banyak bukan lagi syarat utama sebuah negara menjadi hebat. Asas ekonomi yang canggih berupaya mengaplikasikan teknologi tinggi, disokong oleh ekosistem dan infra yang lengkap, kecekapan kerajaan, kestabilan politik, dan kesediaan bakat yang hebat mempengaruhi daya saing negara.
Sektor perkhidmatan menyumbang 55 peratus dari ekonomi negara tetapi umumnya dipelopori oleh aktiviti lazim-tidak bersifat canggih. Pertaruhan Malaysia menjadi hebat banyak bersandar keatas sektor industri pembuatan (36% dari GDP) dan umumnya yang dirai ialah kemasukan pelaburan asing FDI. Cukupkah sektor pembuatan sahaja? Sektor lain bagaimana? Profesor Dani Rodrik, sarjana pembangunan Harvard, mengingatkan saya bahawa ‘tiada’ negara boleh menjadi hebat selagi aktiviti ekonomi domestik dan penduduknya tidak hebat. FDI memang diakui penting, tetapi kalaulah FDI dikeluarkan, di mana Malaysia?
Apakah industri perfileman dan kreatif mampu menjadi sektor ekonomi baharu untuk Malaysia? Berpotensi dibangunkan. Bukan sekadar hiburan tetapi industri yang mampu melonjak ekonomi dan daya saing negara? Ada yang sinis dengan idea ini. Mungkin terlalu asyik dilamun ketagihan drama dan filem Korea, peminat fanatik artis Korea, Lee Min-ho mungkin. Hingga ‘kimchi’ kini sudah menjadi menu lazat makan tengah hari mengalahkan tempoyak.
Korea dahulunya sebuah negara dibelenggu kemiskinan. Di tahun 1980, pendapatan perkapita Korea hanyalah USD1,715, rendah dari Malaysia, USD1,927. Kini 2021, Korea adalah sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan pendapatan perkapita USD34,801, Malaysia sudah jauh di belakang, USD11,339. Malaysia bukan lagi negara saingan Korea.
Semua panel menyuarakan keresahan mereka, industri perfileman malar dan mungkin merudum kalau tidak diberi perhatian yang secukupnya. Dalam konteks polisi awam, tiada koordinasi yang mantap, berselerak governansnya, di bawah beberapa kementerian dan agensi yang akhirnya melemahkan industri, tidak berdaya maju, tiada nafas untuk membangun. Perancangan strategik diperlukan. Perhatian kerajaan diperlukan.
Prof Datuk Wan Hashim mengutarakan duti hiburan yang menekan, terlalu tinggi. ‘Siapa nak melabur kalau tiada rangsangan, malah tertekan dengan cukai yang tinggi’, katanya.
Duti hiburan 25% di pintu, sekian lama menjadi bebanan sejak 60-an. Bukan sahaja industri perfileman, malah taman tema kunjungan keluarga beriadah pun sama. Perlu diolah semula.
Kita terperangkap dengan terjemahan ‘hiburan’ tahun 1960-an-melalaikan, jangan digalakkan. Mat Kilau menunjukkan filem lebih dari sekadar hiburan. Korea membangunkan industri ini sebagai sektor ekonomi baharu berdaya saing, mewujudkan ‘Gelombang Korea’ di seluruh dunia, jenama antarabangsa.
Menyusul di sebalik jenama ini adalah produk dan perkhidmatan Korea yang berteknologi tinggi. Aplikasi Revolusi Industri ke-4 (4IR) melonjak dan meluas merentasi semua sektor. Habis dibaham kekuatan Jepun. Samsung sudah menelan Sony!
Otai Datuk Rosyam dan Syamsul menyarankan, sebagai agensi peneraju, kegemilangan FINAS mesti dikembalikan, lebih agresif. Libat urus bersama dengan semua pemegang taruh mencerna idea dan merancang masa depan industri amat diperlukan. Mat Kilau sahaja tidak nencukupi.
Hakikatnya, kita masih kampung filem, perlu anjak ke industri filem, kata Otai Datuk Rosyam yang turut berkongsi pengalamannya shooting di India berlakon bersama pelakon hebat Rajinikanth dalam filem Tamil, Kabali. Industri perfileman India sangat hebat, canggih, bersifat global.
Industri perfileman dan kreatif perlu diberi nafas baharu, disuntik dengan kesungguhan kerjasama kerajaan dan pemain industri.
Saya bukan orang filem, tetapi mendengar keluhan Otai Perfileman, Pengarah Muda dan Sarjana/Pengkaji Filem ini sudah cukup meyakinkan saya, industri ini berpotensi untuk menjadi sektor baharu ekonomi negara. Yang pasti Mat Kilau bukan sekadar hiburan.
Penulis adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif
(MINDA-UKM).

