FILEM komedi berbahasa Inggeris, Spilt Gravy yang diarahkan oleh Datuk Zahim Albakri diangkat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang disiarkan secara langsung di TV dari Encore Theatre, Melaka, malam tadi.

Filem terbitan ZSA Productions Sdn Bhd itu sekali gus meraih Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.

Malah, Spilt Gravy turut meraih enam lagi anugerah iaitu Pengarah Harapan (Zahim Al Bakri), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Juliana Ibrahim), Lakon Layar Terbaik, Penyunting Terbaik, Rekaan Busana Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.

Filem yang dihasilkan sejak 11 tahun itu merupakan hasil penulisan Allahyarham Jit Murad yang mengisahkan tentang kehidupan lima beradik daripada lima ibu yang berbeza namun satu bapa.

Masing-masing membesarkan dengan cara hidup sendiri dan pada satu hari bapa mereka, lakonan Rahim Razali mahu menjemput semua anaknya untuk membincangkan wasiat selepas menyedari tidak mempunyai masa yang panjang untuk hidup lagi.

Pada awalnya, naskhah itu sepatutnya ditayangkan pada 8 November 2015 namun hanya dapat dikeluarkan di pawagam pada 9 Jun 2022.

Sementara itu, bagi kategori Pengarah Terbaik, anugerah tersebut menjadi milik Ryon Lee Eng Keong menerusi filem komedi drama, Small Town Heroes.

Dalam pada itu, filem terbitan Kembara Studio Sdn. Bhd. tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya membolosi empat trofi menerusi Pelakon Lelaki Terbaik (Datuk Adi Putra), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Beto Kusyairy), Anugerah Khas Juri dan Anugerah Khas Filem Box Office.

Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, trofi terbabit dimenangi oleh Tan Chui Mui menerusi filem Barbarian Invasion.

Anugerah Khas Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman masing-masing diberikan kepada dua ikon terkenal, Mat Sentul dan Datuk Sarimah Ahmad atas pencapaian seni luar biasa mereka.

Mat Sentul dan Sarimah menerima hadiah pakej umrah bernilai RM10,000 dan wang tunai RM15,000.

FFM32 yang bertemakan Filem Kita, Citra Kita itu dihoskan oleh Awal Ashaari dan Che Puan Sarimah Ibrahim.

Acara berprestij berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan daripada barisan penyanyi popular seperti Datuk Zainal Abidin, Siti Nordiana, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha Milan Londoh dan Hazama.

Senarai Penuh Pemenang FFM32

  1. Anugerah Khas Filem Box Office – Mat Kilau
  2. Poster Terbaik – Tree Egg PLT
  3. Kesan Khas Visual Terbaik – Air Force The Movie: Selagi Bernyawa
  4. Filem Pendek Terbaik – Can You Love Me Most
  5. Tatarias Terbaik – Rasuk
  6. Rekaan Busana Terbaik – Spilt Gravy
  7. Penataan Seni Terbaik – Spilt Gravy
  8. Penataan Bunyi Terbaik – Air Force The Movie: Selagi Bernyawa
  9. Skor Muzik Asal Terbaik – Small Town Heroes
  10. Lagu Tema Terbaik – Juang (Wira Hatiku)
  11. Sinematografi Terbaik – Small Town Heroes
  12. Penyunting Terbaik – Spilt Gravy
  13. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik – Phua Chandler (Small Town Heroes)
  14. Pelakon Wanita Harapan – Layla Sania Khairuzikri (Small Town Heroes)
  15. Pelakon Lelaki Harapan – Jaa Suzuran (Autumn In Wales)
  16. Pengarah Harapan – Datuk Zahim Al Bakri (Spilt Gravy)
  17. Anugerah Khas Juri 1 – Juang
  18. Anugerah Khas Juri 2 – Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan
  19. Anugerah Khas Juri 3 – Air Force The Movie: Selagi Bernyawa
  20. Anugerah Khas Juri Filem Antarabangsa – Ranah 3 Warna (Indonesia)
  21. Anugerah Khas Penggiat Belakang Tabir – Akma Suriati Awang
  22. Anugerah Khas Seniwati Sepanjang Zaman – Datuk Sarimah Ahmad
  23. Anugerah Khas Seniman Sepanjang Zaman – Mat Sentol
  24. Cerita Asal Terbaik – Small Town Heroes
  25. Lakon Layar Terbaik – Spilt Gravy
  26. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Juliana Ibrahim (Spilt Gravy)
  27. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Beto Kusyairi (Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan)
  28. Pelakon Wanita Terbaik – Tan Chui Mui (Barbarian Invasion)
  29. Pelakon Lelaki Terbaik – Datuk Adi Putra (Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan)
  30. Pengarah Terbaik – Ryon Lee Eng Keong (Small Town Heroes)
  31. Filem Terbaik – Spilt Gravy