bunuh jin dengan garam

Terdapat satu kisah yang pernah terjadi di zaman khalifah al-Mutawakkil, seorang hamba perempuan dirasuki oleh jin. Kemudian datang seorang lelaki menemui Imam Ahmad meminta supaya beliau merawat wanita tersebut. Imam Ahmad hanya memberikan terompahnya dan menyuruh lelaki tersebut memukul kepala perempuan yang dirasuk jin sebanyak tujuh kali jika jin itu enggan keluar.

Disebabkan ketaatan imam Ahmad kepada Allah maka jin tersebut keluar dari tubuh hamba perempuan. Beberapa ketika kemudian selepas imam Ahmad meninggal dunia, jin yang sama kembali merasuk tubuh hamba perempuan tersebut.

Mengetahui akan kejadian ini maka khalifah al-Mutawakkil sekali lagi menyuruh seorang lelaki menemui sahabat baik imam Ahmad dan minta terompahnya untuk dilakukan cara yang sama. Tetapi malangnya jin tersebut tidak mahu keluar dan berkata,

Aku tidak akan taat kepadamu dan tidak akan keluar dari sini. Ada pun Imam Ahmad Ibnu Hambal dahulu adalah seorang yang taat kepada Allah dan aku diperintahkan agar taat kepadanya.”

Itu kisah terompah Imam Ahmad tapi jin itu bukan takutkan terompah itu sebaliknya kerana ketaatan Imam Ahmad kepada Allah. Bagaimana pula ceritanya dengan garam sebagai salah satu kaedah menghalau makhluk halus? Jadi, adakah garam boleh digunakan untuk menghalang dari gangguan makhluk halus?

Bekas mufti kerajaan Arab Saudi, Syeikh Abdul Aziz Bazz pernah menyatakan, penggunaan bahan dalam rawatan Islam adalah harus selagi ia tidak diharamkan oleh syarak.

Ia sama juga dengan mengambil panadol apabila pening kepala atau demam. Di dalam kandungan panadol terdapat bahan yang boleh memudaratkan tubuh jika diambil secara berlebihan. Namun begitu ia tidak dihukumkan haram selagi mana ia tidak mendatangkan mudarat atau jelas ada dalil yang menunjukkan haram.

Katanya, berdasarkan buku rawatan penyakit jasmani, seorang pengamal dan pengkaji perubatan Islam di Arab Saudi iaitu Syeikh Abu al-Barra’ Usamah bin Yassinal-Ma’ani pernah ditanya tentang penggunaan garam yang direnjis pada sudut, atau tiang rumah yang mengalami gangguan makhluk halus, sama ada ia dibenarkan atau tidak. Jawabnya, ia harus dengan beberapa syarat iaitu:

Pertama:  Hendaklah memaklumkan kepada makhluk yang mengganggu bahawa tindakan ini tidak bermaksud menceroboh atau menyakiti secara sengaja.

Kedua: Hendaklah dimaklumkan kepada tuan rumah bahawa penggunaan air dan garam adalah semata-mata ikhtiar berdasarkan pengalaman pengamal perubatan yang berpengalaman.

Syeikh Abu al-Barra turut memetik jawapan dari Syeikh Abdullah Abdul Rahman al-Jebreen yang mengatakan, penggunaan garam dalam menghalau makhluk halus adalah harus.

Ia berdasarkan kisah pengalaman Abu Nadhir Hasyim ibn Qasim yang mengamalkan perbuatan tersebut berdasarkan kitab al-Wabas-Sayyib min al-Kalimat-Tayyib oleh Syeikh Ibn Qayyim al-Jauzi.

Dalam merawat apa jua penyakit, yang penting sekali, perlu ditanam dalam hati setiap pesakit, i’tiqad keyakinan bahawa hanya Allah sahaja yang mampu menyembuhkan. Ubatan atau bahan-bahan rawatan hanyalah sebagai alat penghubung bagi menyembuhkan penyakit tersebut. Ia  tidak mempunyai sebarang kuasa pun.

Pesakit juga hendaklah sabar, berdoa dan terus bertawakkal kepada Allah seperti nabi Allah Ayyub r.a. yang terus tabah menghadapi segala penyakit yang dideritainya. Hanya kesabaran yang mampu membuktikan keimanan kita kepada Allah.

Dalam konteks ini, bahan yang digunakan mestilah bahan yang halal, harus dan tidak bersalahan dari segi syarak dan orang yang mengubat mestilah seorang Muslim yang beriman kepada Allah, dengan melaksanakan setiap suruhannya. Manakala kaedah rawatan pula, bersandarkan kepada bacaan ruqyah iaitu ayat al-Quran, al-Hadis, doa-doa dan amalan ulama.

Bagi bacaan doa-doa dan amalan ulama, dua kriteria perlu dipastikan supaya ia bertepatan dengan inti pati Islam, iaitu tiadanya unsur syirik seperti menyeru kepada jin atau meminta pertolongan dengan makhluk halus.

Yang kedua, bacaan tersebut hendaklah difahami dengan jelas bagi orang yang membacanya. Sekiranya bacaan al-Quran yang dicampur adukkan dengan mantera, maka ia bercanggah sama sekali dengan syarak. Wallahu a’lam

____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare