SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan mengenai cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri ini, kepada Sabtu dan Ahad.
Baginda bertitah akan membuat pengumuman apabila berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk negeri Johor.
Justeru, baginda bertitah agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau gesaan agar keputusan itu diumumkan secepat mungkin.
“Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan (negeri) itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.
“Buat masa ini, saya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri Johor serta kepentingan rakyat. Kerajaan negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office (RPO) dalam laman Facebook rasmi baginda di sini hari ini.
Baca lagi: BN Johor jangan terlalu selesa kemenangan besar PRN
Bermula 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan Johor kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama negeri Johor.
Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat dan Sabtu) yang telah dilaksanakan dalam di Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula 1994 apabila ia ditukar ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.
Pada 10 Ogos lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah membentangkan hasil dapatan kerajaan negeri mengenai penyelarasan cuti hari minggu untuk pertimbangan Sultan Ibrahim.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram