LATEST ARTICLES

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM bersidang dan memutuskan mengenai kes berkenaan hari ini.

“Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam orang pelajar diambil oleh ibu bapa masing-masing pagi tadi setelah JDM MRSM bersidang dan memutuskan untuk singkir mereka kerana kes buli,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau memberitahu, dua daripadanya digantung sehingga pengesahan diperoleh daripada pihak polis yang melakukan siasatan sama ada mereka turut terlibat melakukan sentuhan fizikal dalam kes berkenaan.

Tegasnya, amaran telah berulang kali diberikan iaitu ‘you touch, you go’.

Kelmarin beliau mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah MRSM di Johor yang disyaki terlibat kes buli.

Beliau melahirkan rasa amat berduka cita, kesal dan kecewa apabila dimaklumkan mengenai kes berkenaan.

Perkara itu jelasnya, hanya diketahui selepas ibu bapa mangsa membuat hantaran di media sosial apabila anak mereka memohon untuk keluar daripada MRSM kerana tidak lagi mampu menanggung penderitaan akibat dibuli.

Kerajaan lulus RM178 juta laksana PPR baharu di Negeri Sembilan

KERAJAAN meluluskan pelaksanaan tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Negeri Sembilan bernilai RM178 juta bagi memastikan rakyat menikmati akses kepada kediaman selesa, selamat dan berkualiti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, gandingan Kerajaan Pusat dan negeri telah mengenal pasti tiga tapak tanah strategik yang sesuai bagi tujuan berkenaan iaitu di Nilai, Jempol dan Linggi.

“Pelaksanaan projek-projek ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memperluas penyediaan perumahan mampu milik secara lebih inklusif dan mampan.

“Ini selaras dengan aspirasi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh pembangunan komuniti di seluruh negara dengan perumahan mampu milik yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan surat tawaran dan undian unit rumah PPR di Ladang Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kor Ming berkata, secara keseluruhan, Negeri Sembilan kini mempunyai 1,422 unit PPR melibatkan 1,222 unit yang telah siap, 100 unit dalam pembinaan (PPR Jempol) dan 500 unit lagi dalam perancangan.

Sekali gus katanya, ia mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperluas penyediaan perumahan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat.

Dipertimbang dalam Belanjawan 2027

Bagi projek PPR Nilai jelas beliau, kerajaan telah bersetuju secara prinsip bagi cadangan pembangunan projek ini di atas tanah milik Kerajaan Negeri yang disediakan secara percuma.

“Kajian tapak telah disiapkan dan disahkan sesuai untuk pembangunan perumahan tersebut, manakala pelaksanaannya telah dikemukakan untuk kelulusan daripada Kementerian Ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu beliau memberitahu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memohon peruntukan berjumlah RM117 juta bagi pembinaan 400 unit PPR di tapak berkenaan.

Katanya, cadangan tersebut dijangka dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 akan datang.

Sementara itu jelasnya, Projek PPR Jempol telah diluluskan dengan peruntukan RM29.2 juta dan dijadualkan bermula tahun ini selain dijangka siap sepenuhnya pada 2028.

“Selain itu, projek PRR Linggi turut menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM30 juta.

“Proses perolehan secara tender dijadualkan bermula pada September 2026, manakala kerja-kerja pembinaan dijangka dilaksanakan dalam tempoh 2027 hingga 2029.

“Ketiga-tiga projek ini dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan kediaman mampu milik, di samping menyokong agenda pembangunan bandar dan komuniti yang lebih sejahtera serta inklusif,” katanya.

Lagi kes di Kem Hobart: Dua anggota tentera cedera ketika latihan menembak

TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan berlakunya satu insiden kemalangan semasa Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah pada pukul 6.15 petang semalam.

Menurut TDM, insiden ini melibatkan dua anggota dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD), iaitu Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin dan Koperal Felix anak Franchis.

“Kejadian tersebut berlaku ketika sesi latihan tembakan sedang dijalankan apabila senjata yang dikendalikan oleh kedua-dua anggota tersangkut (stoppage) dan tidak meletup.

“Kedua-dua anggota telah melaksanakan tindakan segera mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi menangani situasi berkenaan.

“Walau bagaimanapun, satu letupan telah berlaku secara tiba-tiba mengakibatkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan,” jelasnya dalam kenyataan.

TDM memberitahu, kedua-dua anggota telah diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan pasukan sebelum dikejarkan ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.

“TDM ingin memaklumkan bahawa keadaan semasa kedua-dua anggota adalah stabil.

“Sarjan Mohamad Firdaus telah menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke pasukan, manakala Koperal Felix kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya.

Lembaga Siasatan ditubuhkan

Jelasnya, TDM telah menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar insiden ini secara terperinci dan menyeluruh.

Lapang Sasar tersebut juga katanya, telah ditutup sementara waktu bagi membolehkan proses siasatan berjalan lancar.

“TDM memandang serius terhadap insiden ini dan akan memastikan aspek keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) latihan sentiasa diutamakan.

“Pihak TDM memohon kerjasama agar semua pihak, khususnya orang awam dan pengguna media sosial, tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi anggota yang terlibat dan keluarga mereka.

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu dalam insiden pada 16 Jun lalu, dua anggota tentera maut dalam letupan bom tangan ketika menjalani latihan di lapang sasar sama.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Harga runcit RON97, RON95, diesel tanpa subsidi turun 10 sen

HARGA runcit RON97 tanpa subsidi termasuk RON95 dan diesel turun 10 sen seliter, masing-masing kepada RM4, RM3.37 dan RM3.97 bagi tempoh 1 hingga 8 Julai ini.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), ia diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

“Harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diumumkan hari ini bagi menyelaraskan tempoh harga baharu dengan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) mulai esok, 1 Julai 2026.

“Harga pasaran petroleum antarabangsa terus menyederhana berbanding paras tertinggi yang dicatatkan semasa kemuncak krisis Asia Barat,” jelasnya dalam kenyataan.

MoF memberitahu, perkembangan ini disokong oleh tanda-tanda pemulihan aliran bekalan global serta jangkaan bahawa rundingan berkaitan konflik tersebut dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak mentah.

Namun begitu jelasnya, pasaran petroleum global masih belum kembali sepenuhnya stabil.

Katanya, risiko terhadap harga minyak mentah, kos penghantaran dan kestabilan bekalan masih kekal selagi konflik belum mencapai penyelesaian muktamad, manakala pemulihan rantaian bekalan juga mengambil masa.

“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” jelasnya.

MoF menambah, BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) akan dilaksanakan mulai 1 Julai, membolehkan rakyat Malaysia yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak seluruh negara.

Kerajaan MADANI katanya, akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Terdahulu MoF memaklumkan, harga bahan api bersubsidi adalah dikekalkan seperti sebelumnya.

Nafuzi Zain kembali kendali Terengganu FC

BEKAS jurulatih bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Mohd Nafuzi Mohd Zain atau Nafuzi Zain kembali semula menerajui Terengganu FC bagi menempuh saingan Liga Malaysia 2026/2027.

Kehadiran Nafuzi selaku ketua jurulatih itu disahkan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dalam kenyataan hari ini.

TFCSB memaklumkan, pengendali berusia 47 tahun itu telah menandatangani kontrak selama dua musim sehingga Mei 2028.

Menurut TFCSB, pelantikan Nafuzi menandakan kepulangan seorang jurulatih yang cukup sinonim dengan Terengganu FC.

“Kepulangan beliau hadir tepat pada masanya ketika Terengganu FC sedang melalui fasa pembinaan semula pasukan dengan hala tuju yang lebih jelas, berfokus dan berdaya saing.

“Pengurusan kelab percaya pengalaman, pemahaman terhadap budaya pasukan serta hubungan erat beliau dengan penyokong akan menjadi aset penting dalam usaha mengembalikan Terengganu FC ke landasan yang diharapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai rekod, Nafuzi bukan nama asing kepada Terengganu FC.

Beliau pernah membimbing pasukan tersebut dari tahun 2019 hingga 2022 dan berjaya membawa pasukan Terengganu FC muncul sebagai antara pencabar utama Liga Super.

Ia termasuk menamatkan saingan liga di tempat ketiga pada musim 2020 serta muncul naib juara Liga Super dan Piala FA pada musim 2022.

Sebagai persediaan menghadapi musim baharu, TFCSB berkata, Nafuzi telah mula mengenal pasti beberapa pemain tempatan dan import selain menyusun barisan kejurulatihan menerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFC.

Katanya, proses pembentukan pasukan sedang berjalan dengan teliti dan lancar bagi memastikan Terengganu FC memiliki kombinasi terbaik antara pemain sedia ada dan muka-muka baharu yang mampu memperkukuh pasukan.

“Pelantikan Nafuzi turut mencerminkan komitmen kelab untuk membina sebuah pasukan yang kompetitif, beridentiti jelas dan mampu bersaing secara konsisten dalam setiap pertandingan yang disertai.

“Dengan pengalaman luas beliau dalam bola sepak tempatan serta rekod cemerlang bersama Terengganu FC sebelum ini, kelab yakin beliau merupakan individu paling sesuai untuk memimpin projek baharu Terengganu FC bagi tempoh dua musim akan datang,” jelasnya.

Mayat dalam bagasi: Badan tidak dipotong, mangsa maut akibat tetakan di kepala

MAYAT seorang wanita yang ditemukan dalam bagasi di sebuah unit pangsapuri di Taman Impian Indah, Kajang disahkan meninggal dunia akibat luka tetakan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan, proses bedah siasat telah selesai pada pukul 6.20 petang semalam di unit forensik Hospital Kajang.

Pada masa sama, Naazron berkata, tiada bahagian badan mangsa yang telah dipotong.

Kata beliau, kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tiada bahagian badan mayat yang terpisah atau dipotong.

“Rumah tersebut merupakan rumah yang disewakan kepada sepasang suami isteri warga asing sejak bulan Februari 2026.

“Sama ada mangsa merupakan pasangan yang menyewa rumah tersebut atau sebaliknya masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga atau pekerja boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717 bagi membantu siasatan.

Semalam, UtusanTV melaporkan bau busuk dari sebuah unit pangsapuri di tingkat tiga Taman Impian Indah, Kajang membawa penemuan mayat seorang wanita dalam bagasi, Ahad lalu.

Pihak polis telah menerima satu laporan berhubung penemuan mayat tanpa pengenalan diri itu kira-kira pukul 8.37 malam.

Hasil pemeriksaan mendapati satu mayat perempuan dijumpai di dalam bagasi di ruang tamu sebuah rumah dan telah disahkan meninggal dunia

Letupan bom Tak Bai: Dua rakyat Malaysia dipindahkan ke hospital di Kelantan

DUA rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian letupan bom di daerah Tak Bai, wilayah Narathiwat, selatan Thailand, semalam telah dipindahkan ke sebuah hospital di Kelantan.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua mangsa itu telah dibenarkan keluar dari Hospital Naradhiwas Rajanagarindra dengan bantuan pihak berkuasa tempatan di Narathiwat.

Menurut Kementerian Luar, kedua-dua mangsa itu diiringi oleh pihak berkuasa tempatan Thailand ke sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang, Kelantan.

“Bagi memudahcara kepulangan mereka ke Malaysia, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menyelaras dengan pihak berkausa berkaitan di Rantau Panjang berhubung urusan pemeriksaan imigresen di sempadan Malaysia-Thailand.

“Setelah proses pemeriksaan selesai, kedua-dua mangsa dibawa dengan ambulans ke sebuah hospital di Kelantan untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa tempatan di Narathiwat.

Katanya, penghargaan itu atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terlibat.

“Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau perkembangan kes ini.

“Kementerian ini juga menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap di atau melakukan perjalanan melalui wilayah selatan Thailand agar terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Semalam, dua lelaki rakyat Malaysia cedera dalam satu kejadian letupan bom yang menyasarkan sebuah kenderaan pasukan sukarelawan keselamatan di daerah Tak Bai, wilayah Narathiwat, selatan Thailand.

Ketua Polis Narathiwat Mejar Jeneral Polis Prayong Khoksakha berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.40 pagi waktu tempatan yang turut melibatkan sebuah kenderaan berdaftar Malaysia.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bom buatan sendiri (IED) seberat kira-kira 70 kilogram itu diaktifkan menggunakan telefon bimbit dengan sasaran utama serangan ialah kenderaan pasukan sukarelawan Sungai Golok yang sedang melalui lorong kanan jalan.

Mangsa yang dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45 dan rakannya, Muhammad Yusri Udin, 38, yang menaiki Proton X50 cedera apabila bom yang ditanam di bawah pembetung di Lebuh Raya 42, Kampung Phrai Wan, berhampiran Tak Bai meletup.

Abdullah cedera serius termasuk luka pada dahi dan kepala, patah tulang paha kiri serta kecederaan pada tangan kiri, manakala Yusri cedera ringan.

4,557 kes kanak-kanak hilang sejak 2021

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan seramai 4,557 kes kanak-kanak dilaporkan hilang sejak tahun 2021 hingga tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, statistik tersebut menunjukkan peningkatan setiap tahun kecuali pada tahun 2023.

Menurut beliau, kes kanak-kanak hilang pada tahun 2023 merekodkan penurunan sebanyak 13.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata berdasarkan statistik, kes kehilangan kanak-kanak yang direkodkan pada 2021 membabitkan 594 orang, manakala 903 orang pada 2022, 778 orang (2023), 1,063 orang (2024) dan 1,219 orang (2025).

Saifuddin Nasution berkata, pelbagai langkah diambil untuk menangani kes kanak-kanak hilang.

“Antara langkah tersebut termasuk setiap laporan kehilangan kanak-kanak diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH) dengan segera bagi membolehkan tindakan pengesanan dilaksanakan tanpa perlu menunggu tempoh tertentu.

“PDRM turut memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak media dalam usaha mengesan dan menyelamatkan kanak-kanak yang dilaporkan hilang;

“Meningkatkan penggunaan platform digital dalam penyebaran maklumat orang hilang serta memperluaskan capaian hebahan kepada masyarakat bagi mempercepatkan proses pengesanan melalui portal hebahan kanak-kanak hilang yang boleh diakses oleh masyarakat di laman web rasmi PDRM,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN-JELI) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha kementerian dalam menangani kes kanak-kanak hilang setakat ini kerana trend peningkatan kanak-kanak hilang sejak tahun 2021 hingga 2025 adalah amat membimbangkan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya turut melaksanakan program advokasi dan kesedaran awam secara berterusan mengenai keselamatan kanak-kanak, risiko pelarian dari rumah, eksploitasi dalam talian, pengaruh media sosial serta kepentingan pemantauan ibu bapa dan penjaga.

Pada masa sama, katanya, langkah lain ialah mengoptimumkan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM yang memberi fokus kepada kanak-kanak sekolah dan mempertingkatkan pemantauan terhadap kes-kes berulang.

Turut dilaksanakan ialah mengenal pasti faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kehilangan kanak-kanak, termasuk konflik keluarga, pengaruh rakan sebaya, masalah emosi, eksploitasi seksual, penggunaan media sosial secara tidak terkawal serta kecenderungan melarikan diri dari rumah atau institusi jagaan.

Ismael Saibari jadi wira, Maghribi kecewakan Belanda langkah ke pusingan 16

0

MAGHRIBI meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 selepas berjaya menewaskan Belanda 3-2 dalam penentuan sepakan penalti, sebentar tadi.

Perlawanan berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam tempoh 90 minit dan masa tambahan.

Penyerang PSV Eindhoven, Ismael Saibari menjadi wira skuad The Atlas Lions apabila sepakan penalti terakhirnya menerjah jaring dikawal Bart Verbruggen.

Dalam perlawanan di Estadio Monterrey, Guadalupe, Maghribi dan Belanda menampilkan aksi bertenaga dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Belanda menguasai hampir keseluruhan separuh masa pertama bagaimanapun gawang Maghribi dikawal Yassine Bounou terus kebal menangkis serangan.

Memasuki separuh masa kedua, Belanda akhirnya berjaya mendahului menerusi Cody Gakpo pada minit ke-72.

Gerakan cantik daripada Crysencio Summerville melepasi halangan pertahanan Maghribi disudahkan Gakpo.

Tersentak dengan jaringan itu, Maghribi melakukan beberapa pertukaran dan berterusan melancarkan serangan bertali arus ke gawang Oranje.

Hasilnya, pertahanan Fulham, Issa Diop melompat lebih tinggi untuk menanduk masuk hantaran Chemsdine Talbi pada minit akhir perlawanan untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.

Maghribi berterusan menyerang dalam masa tambahan namun Verbruggen bertindak cemerlang menafikan percubaan direncana pemain lawan.

Maghribi bermula langkah kiri dalam penentuan penalti selepas sepakan pertama oleh Neil El Aynaoui terkena palang gol setelah Teun Koopmeiners menjadikan kedudukan 1-0.

Namun begitu, Justin Kluivert turut terlepas peluang memastikan Belanda mendahului 2-0 apabila sepakannya pula terkena tiang gol.

Pada ketika sepakan terakhir, Summerville terlepas peluang memberi tekanan buat Maghribi selepas sepakan lemahnya berjaya ditepis Bounou.

Saibari yang telah menjaringkan tiga gol dalam kempen Piala Dunia kali ini tampil menyudahkan sepakan terakhir sekali gus mengesahkan kemaraan Maghribi.

Maghribi yang berjaya layak hingga ke separuh akhir pada edisi 2022 yang berlangsung di Qatar bakal menempah pertemuan menentang Kanada di pusingan 16 terakhir pada 4 Julai nanti.

Kekalahan Belanda yang dibimbing Ronald Koeman pula menjadikan pasukan itu gagal melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir seperti dilakukan di Qatar.

Semua negeri kecuali Selangor, P Pinang terima peruntukan lebih tinggi berbanding hasil – PM

SEMUA negeri kecuali Selangor dan Pulau Pinang menerima peruntukan Persekutuan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dan purata hasil cukai diraih kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan menyalurkan jumlah peruntukan secara tidak adil dan tidak mencukupi kepada kerajaan negeri.

Menurut Perdana Menteri, hanya kerajaan Selangor dan Pulau Pinang menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan yang nilainya lebih rendah berbanding purata hasil kedua-dua negeri itu.

Bagi Selangor, beliau berkata, sebanyak RM15 bilion disalurkan Kerajaan Persekutuan berbanding purata hasil cukai tahun 2023 hingga 2025 yang mencecah RM43.6 bilion.

“Sebab itu kadang-kadang, di dewan ini juga, ahli-ahli Parlimen membangkitkan isu ketidakadilan, kezaliman, haram yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen. Seolah-olah tidak diberikan pertimbangan.

“Untuk Pulau Pinang, purata hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan untuk 2023 hingga 2025 adalah RM10.7 bilion manakala perbelanjaan adalah RM7.9 bilion.

“Ini tentunya bertentangan dengan dakwaan diberikan mengatakan peruntukan Pulau Pinang itu lebih,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai dakwaan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil dikutip.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau memberikan tumpuan kepada negeri-negeri yang memerlukan perhatian khusus dan projek-projek yang tidak boleh dilengahkan.

Kata beliau, ia termasuk projek seperti tebatan banjir, naik taraf lebuh raya atau jalan baharu Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

Anwar turut memberi contoh beberapa negeri lain termasuk Kelantan di mana sebanyak RM8.9 bilion perbelanjaan Persekutuan telah diperuntukkan berbanding hasil purata antara 2023 hingga 2025 hanya berjumlah RM946 juta.

Untuk Kedah pula, beliau berkata, sebanyak RM3.7 bilion purata hasil diperoleh dengan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pula berjumlah RM9.5 bilion.

“Ini semua negeri bertambah tetapi kita pertahankan keputusna ini berdasar keperluan yang mendesak iaitu seperti mana saya senaraikan beberapa projek-projek termasuk pembasmian kemiskinan, kenaikan taraf kemudahan infrastruktur, sekolah dan sebagainya terutama bagi masyarakat yang miskin dan juga terpinggir.

“Jadi saya harap dengan penjelasan ini boleh mengundang pandangan tambahan, cadangan tetapi tidak benar sama sekali tohmahan bahawa negeri-negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan.

“Kalau nak banding, saya tegaskan di sini bahawa Kerajaan MADANI lah di mana peruntukan tertniggi untuk negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan ketimbang sebelumnya,” jelasnya.