Sekadar gambar hiasan

Bercakap mengenai lakaran takdir, kita setuju atau tidak, terima atau tidak tetapi satu perkara yang sudah pasti adalah takdir kita sudah ditetapkan. 

Pada saya, berubahnya takdir dengan doa adalah satu anjakan takdir dalam takdir yang telah ditetapkan. Kita akan beranjak ke takdir yang telah ditetapkan dan sebabnya adalah doa yang kita panjatkan. 

Saya sering bercerita perihal doa ini kepada peserta latihan-latihan yang saya adakan.  Ini kerana saya berasakan doa adalah satu perkara yang cukup penting tetapi diremehkan oleh kebanyakan kita sehinggalah kita tersepit. Tatkala tersepit itulah baru kita berdoa dengan penuh jiwa dan raga. 

Saya sering mengingatkan diri sendiri serta mereka yang berada di sekeliling supaya  tidak menjadi seperti anjing yang tersepit. Anjing yang tersepit akan menyalak meminta pertolongan tetapi apabila ia dilepaskan maka ada tiga keadaan yang mungkin berlaku. 

Pertama, si anjing itu menggigit orang yang melepaskannya dari tersepit. Kedua, boleh jadi si anjing itu menyalak marah kepada orang yang membebaskannya atau mungkin juga keadaan ketiga yang mana si anjing itu terus berlalu pergi tanpa mempedulikan orang yang telah bersusah payah membantunya.

Keadaan ini sama dengan kehidupan kita sebagai manusia.  Apabila kita dihimpit kesusahan, kita akan beria-ia memohon pertolongan kepada Allah. Kita batuk contohnya. Kita akan beria-ia memohon agar batuk cepat hilang kerana tidak tahan tekak yang gatal serta dada perih ketika batuk. 

Lalu dikabulkan Allah dengan sebab mengambil ubat batuk. Berapa kalikah kita berterima kasih kepada Allah kerana menyembuhkan kita. Atau kita mempersoalkan kenapakah kita yang kena batuk sedangkan orang lain tidak. Lebih buruk lagi jika kita memarahi dan mencaci nista keadaan sakit yang diberikan Allah kepada kita. 

Kita mungkin tidak merasai kasih sayang Allah ketika kita sakit dek kerana sibuk melemparkan rungutan tentang takdir yang dilakarkan Allah. 

Saya pernah melalui satu keadaan yang cukup sibuk dengan hal-hal kerja hingga sukar mencari alasan untuk bercuti merehatkan minda. Sayangnya Allah kepada saya, lalu diberinya saya cuti yang panjang melalui sakit. Mungkin ramai yang mengatakan kenyataan ini aneh. 

Tetapi pada saya ketika sakit itulah, saya tidak dapat melakukan pekerjaan rutin dan masa banyak dihabiskan dengan hal-hal yang dapat memperdalamkan kedalaman rasa ber Tuhan. Setelah pulih maka saya kembali dengan semangat baru kerana ‘bateri’ sudah dicas. 

Pada saya, jika kita dapat melihat sesuatu itu dari sudut kasih sayang Allah maka kesemua yang berlaku pada diri kita merupakan satu kebaikan yang dianugerahkan kepada kita, biarpun di mata manusia ianya sesuatu yang memeritkan.

Ketika sakit maka saya lebih memahami apa yang diistilahkan dengan sabar. Kita mungkin tahu mengungkapkan ucapan sabar tetapi sejauh mana kita melaksanakan sabar dan merasai buahnya sabar itu. 

Sabar pada saya adalah perlaksanaan dan bukan hanya ungkapan. Jika kita menyuruh orang bersabar ketika mereka timpa ujian besar, kita mungkin tidak tahu apakah perasaan mereka apabila begitu ramai orang yang mengucapkan ungkapan yang sama. 

Istilah Sabar

Cuba kita renungkan satu keadaan yang pernah kita alami. Keadaan di mana kita berhadapan dengan ujian besar dalam kehidupan. Lalu datang sahabat, rakan dan taulan yang berkata,

“Sabarlah, setiap ujian atau masalah ada hikmahnya.” 

Jika begitu ramai yang mengucapkannya, kita juga mungkin boleh hilang sabar dengan perkataan sabar itu sendiri. Ini kerana yang diperlukan ketika itu adalah pelaksanaan sabar dan bukan ucapannya. 

Saya sering menerima kata-kata motivasi dalam laman sembang sosial di telefon bimbit. Salah satunya adalah,

“Allah tidak suruh kita menyelesaikan masalah tetapi Allah menyuruh kita sabar dan solat.” 

Pada saya memang benar tetapi untuk melengkapkannya kita perlu tahu bahawa seruan itu untuk mereka yang beriman. Tanpa iman, sabar itu tidak berlaku dengan betul dan tanpa sabar maka solat itu menjadi longlai. 

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” – (al-Baqarah: 153)

Maka pada saya urutan pelaksanaan sabar itu perlu dimulakan dengan iman yang merupakan satu kepercayaan dan keyakinan yang bukan hanya terukir di bibir tetapi terbentuk di hati serta terpateri di benak minda. 

Hanya setelah wujudnya keadaan itu maka wujudlah pelaksanaan sabar. Pada saya, pelaksanaan sabar yang dilalui membuatkan saya faham apa yang sering kita ucapkan yakni: Innalillahi wainna ilaihi roji’un.  Ini cukup jelas dinyatakan bahawa sabar itu adalah kembali kepada Allah. 

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.” – (al-Baqarah:156) 

Justeru itu, apabila kita kembali kepada Allah maka ia adalah melaksanakan sabar.  Mari kita sama-sama renungi kisah kehidupan, sejauh manakah kita kembali kepada Nya. Mungkin ketika berhadapan dengan masalah yang besar kita akan benar-benar kembali kepada Nya kerana sewaktu itu tiada sesiapa pun yang mampu membantu kita menyelesaikan isu yang dihadapi. 

Tetapi sewaktu kita berhadapan dengan isu-isu yang lebih kecil, adakah kita kembali kepada Nya terlebih dahulu atau kita terus sahaja berasakan yang kita dapat menyelesaikannya. Bukankah kita tahu bahawa tidak bergerak walau sebiji zarah tanpa keizinan daripada Allah. 

Hakikat yang perlu diterima sepenuhnya adalah Allah sentiasa bersama kita bahkan lebih dekat daripada urat leher. Tetapi kita mengambil pilihan untuk menjauhkan diri kita daripada Allah. Masakan tidak, apabila berlaku sesuatu isu dan kita berasakan perlu menyelesaikannya dengan segera sedangkan langkah awalnya adalah kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Maka bertolak dari situ akan terhasilnya jalan keluar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan sesempurna mungkin. 

Jika boleh saya ringkaskan, apabila kita dirundung masalah maka langkah awal adalah kembali kepada Nya kerana itu adalah sabar. Kemudian bersolatlah. Jika kita tidak kembali kepada Nya terlebih dahulu maka solat kita penuh dengan keserabutan dunia yang tidak berkesudahan. Hasil pelaksanaan sabar dan solat maka tercetuslah pintu keluar permasalahan. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Azhar Sarip. Pengasas Spritual NLP Malaysia

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare