PADA tahun 1952, cuaca pada akhir November sudah pun menunjukkan ketibaan musim sejuk. Salji mula turun sehingga memasuki bulan Disember. Kerana itu, penduduk di kota London membakar arang batu di dalam rumah masing-masing untuk meningkatkan kehangatan suhu sekeliling.
Awalnya, keadaan dalam situasi normal. Bagaimanapun pada pagi 5 Disember, suasana sejuk dan berkabus yang dirasai penduduk mula berubah menjadi semakin buruk.
Kabus semakin tebal pada waktu malam sehinggakan penduduk London ketika itu digambarkan sebagai ‘buta’ akibat penglihatan yang terjejas teruk. Akibatnya, mereka sukar untuk bergerak ke lokasi lain terutama pemandu kenderaan.
Keadaan itu turut menyebabkan perkhidmatan ambulans serta sistem pengangkutan seperti penerbangan dan kereta api terkesan sehingga terpaksa dihentikan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Tidak hanya itu, kesukaran untuk melihat telah menyebabkan pelbagai aktiviti terpaksa dibatalkan. Betapa tidak, untuk bergerak ke destinasi lain saja sudah tidak nampak, apatah lagi untuk menjalankan sebarang program.
Keadaan yang berlanjutan selama lima hari itu tidak memberi sebarang ancaman kepada penduduk kerana ia situasi yang biasa dialami di London. Tetapi, ramai yang tidak tahu keadaan kabus itu sebenarnya telah meragut banyak nyawa.
Pada 9 Disember, kedatangan angin sejuk dari arah barat telah mengurangkan ketebalan kabus. Apa yang mengejutkan, dalam tempoh lima hari kejadian kabus tebal itu, sejumlah 4,000 kematian telah direkodkan.
Lebih menghairankan, keadaan mayat mempunyai kesan bibir berwarna kebiruan berkemungkinan kerana kesukaran untuk bernafas. Menurut History.com, jumlah tersebut merupakan rekod awal yang telah dikenal pasti. Kumpulan pakar siasatan mendakwa jumlah kematian mangsa sebenarnya mencapai angka yang lebih besar sehingga mencecah 12,000 orang.
Ternyata, jumlah tersebut memberi kejutan terutamanya kepada seluruh penduduk di London. Situasi kabus pada tahun itu dianggap sebagai tragedi terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah.

Bagaimana kabus itu boleh membunuh nyawa manusia? Siasatan yang dijalankan mendapati di sebalik kewujudan kabus tebal yang melanda London, sebenarnya terkandung udara tercemar.
Stesen pembakar arang batu yang berpusat di Greater London didakwa menjadi punca utama kepada pencemaran tersebut. Kuantiti pembakaran bahan yang banyak telah menghasilkan jumlah udara toksik tidak terkawal. Tidak hanya itu, asap arang batu yang keluar daripada serombong rumah penduduk turut memburukkan lagi persekitaran semasa tragedi.
Pembakaran yang terhasil telah mengakibatkan gas beracun bercampur dengan udara bersih. Kandungan gas yang terbebas daripada pembakaran didakwa mengandungi beribu-ribu tan jelaga hitam, zarah tar dan sulfur dioksida yang menyebabkan pencemaran. Kesannya, ribuan mangsa maut kerana mengalami masalah pernafasan.

Keadaan ketika kejadian juga huru-hara. Golongan ibu bapa terpaksa memastikan kedudukan anak masing-masing walau di mana saja mereka berada, termasuklah ketika berada di kawasan sekolah. Semuanya untuk anak mereka ‘hilang’ di dalam kabus tebal.
Tidak hanya manusia, ada juga cermin bangunan yang retak kerana dilanggar oleh burung yang turut terjejas pandangan semasa terbang. Beberapa kemalangan yang melibatkan haiwan juga dilaporkan berlaku selain mati gara-gara terhidu udara beracun.
Tragedi terburuk mendatangkan kesan mendalam kepada kerajaan dan rakyat. Bagi mengatasi masalah berkenaan, sebuah akta baru telah dilaksanakan beberapa tahun selepas kejadian.
Undang-undang tersebut dinamakan sebagai Akta Udara Bersih 1956. Pelbagai perkara ditetapkan bagi melaksanakan pemuliharaan kawasan. Antaranya pembakaran menjadi semakin terhad, tetapan ketinggian untuk binaan serombong dan penubuhan zon bebas asap.



______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

