BAGAI sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa pelakon Puteri Balqis apabila namanya digugurkan daripada penggambaran drama untuk siaran sebuah televisyen swasta gara-gara dakwaan kes cabul yang kini sedang tular dan disiasat pihak polis.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh ibu Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz yang bimbang akan masa depan kerjaya seni anaknya itu.
“Sedih untuk beritahu, tawaran kerja untuk sebuah stesen televisyen swasta sebanyak 14 episod ditarik balik. Biasalah kes tengah viral.
“Saya juga bimbang jualan buku juga akan perlahan,” katanya.
Selain berlakon, Puteri Balqis juga meraih pendapatan menerusi jualan buku hasil nukilannya sendiri iaitu 38 Poems of Puteri Balqis.
Meskipun bimbang akan kelangsungan hidup, Norashikin percaya akan rezeki yang diatur Allah buat mereka berdua.
“Saya risau, tetapi kami dikelilingi orang-orang yang baik dan amat membantu. Itu sudah memadai untuk saya terus kuat,” luahnya.
Difahamkan nama Puteri Balqis digugurkan selepas pelakon itu secara terbuka membuat pendedahan pernah dicabul bapanya Azizi Aziz di podcast Bros Gang TV pada Sabtu lalu.
Puteri Balqis juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaannya di Balai Polis Sri Damansara, Petaling Jaya Selangor pada Isnin lalu.
Menafikan dakwaan tersebut, bapanya turut membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah pada hari yang sama.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

