RAMAI yang tidak bersetuju apabila penyanyi Shila Amzah diumumkan sebagai salah seorang peserta program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).
Shila dikatakan tidak layak untuk masuk bertanding dalam program berkenaan kerana dia dianggap masih aktif menyanyi dan sehingga kini masih lagi menerima undangan persembahan.
Sedar dengan kritikan tersebut biarpun program belum lagi bermula, Shila bagaimanapun optimis dan ingin menjadikan GV9 sebagai platform untuk berkarya.
Malah, Shila juga menyangkal kata-kata liar pihak luar yang mendakwa dia bersetuju untuk menyertai GV9 disebabkan duit.
“Saya masuk GV9 bukan sebab duit. Ini kerana saya melihat program realiti ini boleh menjadi platform yang sesuai untuk seseorang penyanyi berkarya.
“Sebelum ini, saya menyertai pertandingan seperti The Masked Singer dan Anugerah Juara Lagu, tetapi kedua-dua pertandingan itu mempunyai konsep berbeza.
“Setiap minggu kita akan cuba menampilkan persembahan terbaik dan mencabar kreativiti sendiri. Sebagai penyanyi, program GV9 membantu saya untuk lebih yakin, sekali gus memberi kepuasan kepada diri sendiri.
“Jika nak cakap takut pada kritikan, saya sudah lalui pelbagai kontroversi. Saya juga tak kisah dikritik dari segi nyanyian kerana lebih baik kritikan soal kerja berbanding peribadi,” katanya memetik BH Online.
Dalam pada itu, Shila akui takut untuk berdepan dengan penyingkiran namun dia tetap positif sekiranya perjuangannya dalam GV9 terhenti separuh jalan.
“Selalunya perkara paling saya takut menyertai pertandingan adalah penyingkiran. Jika boleh saya nak elak perkara ini berlaku pada saya.
“Seandainya tewas saya tetap bangga sebagai peserta paling muda dan bersaing bukan dengan calang-calang penyanyi,” luahnya.
Selain Shila, peserta wanita lain yang turut menyertai GV9 ialah Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan dan Tom.
Bagi peserta lelaki pula ialah Tomok, Roy Kapilla, Bob Yusof, Asheed Def-Gab-C.
Sementara itu, penyanyi dari Singapura iaitu Fuad Rahman dan Hazrul Nizam turut terpilih untuk bersama barisan peserta lain.
Sementara itu, GV9 turut menampilkan peserta berkumpulan iaitu VE.
Konsert mingguan GV9 akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 10 minggu bermula 18 September ini.

