Mengenal Allah dengan hati

Mengenal Allah dengan menggunakan akal perlu menerusi dua dalil. Yang pertama, dalil naqli (ayat matluwah atau ayat-ayat al-Quran yang dibaca). Yang kedua, dalil ‘aqli (ayat mar’iyyah atau dalil-dalil yang dilihat oleh pandangan mata). Dengan dua dalil tersebut, maka tercapailah ilmu dan kefahaman mengenai Allah (disebut sebagai ilmu dan kefahaman tauhid).

Setakat itulah sahaja kemampuan akal dalam usaha seseorang mengenal Allah. Ada lagi dua tingkat ilmu yang sepatutnya dicari iaitu hakikat dan ma’rifah. Untuk mencapai tingkat hakikat dan ma’rifah, kita perlu menggunakan hati. Kerana hanya menerusi pandangan mata hati (basirah) sahaja, dalil mengenal Allah yang ketiga (ayat masyhudah) yang tersirat dalam semua kejadian akan dapat disaksikan (musyahadah).

Dalil yang ketiga inilah yang Allah maksudkan melalui firman Nya dalam surah al-A’raf: 185,

“Mengapakah mereka tidak melihat (dengan mata hati akan ayat-ayat Allah yang tersirat) dalam alam malakut kejadian yang di langit dan di bumi dan dalam sesuatu yang Allah jadikan…”. FirmanNya lagi dalam surah al-Dhariyat: 21,

“…dan dalam diri kamu , mengapakah kamu tidak lihat…?”.

Nabi Ibrahim a.s. pada satu tahap telah pun beriman bahawa Allah berkuasa menghidupkan orang yang mati. Tetapi keimanannya hanya didasarkan kepada ilmu dan kefahamannya pada peringkat akal sahaja.

Oleh sebab itu, maka baginda a.s. bermunajat kepada Allah agar ditingatkan iman, ilmu dan kefahamannya itu ke tahap hakikat dan ma’rifah menerusi hati. Firman Allah dalam surah al-Baqarah: 260,

“Dan tatkala Ibrahim bermunajat: Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang yang mati. Allah bertanya: Adakah engkau tidak beriman (bahawa Aku berkuasa menghidupkan orang yang mati)? Ibrahim menjawab: Bahkan (Ya Allah aku telah beriman). Akan tetapi (jika Engkau tunjukkan bagaimana Engkau menghidupkan orang yang mati, maka dapatlah) menjadikan hatiku ini menjadi mutmainnah”.

Allah perlihatkan dalam pandangan mata hati (basirah) Baginda a.s. sehingga mendapat limpahan hakikat dan ma’rifah mengenai kudrat dan iradat Allah yang boleh menghidupkan semula empat ekor burung yang mati.

Tajalliyat (pelbagai limpahan) nur hakikat dan ma’rifah tersebut menjadikan pandangan hati (basirah) baginda a.s. sangat hebat yang membolehkan baginda menerima terus berbagai tajalliyat dari Allah. Firman Allah dalam surah al-An’am: 75,

“Demikianlah kami perlihatkan dalam basirah Ibrahim ayat-ayat Allah dalam alam malakut kejadian Nya yang di langit dan di bumi, agar beliau menjadi orang yang benar-benar yakin (muqinin)”.

Golongan ulul-albab juga telah berjaya menggunakan mata hati (basirah) untuk melihat ayat-ayat masyhudah di alam malakut. Firman Allah dalam surah Al Imran: 190,

“Sesungguhnya dalam kejadian yang di langit dan yang di bumi dan dalam peredaran masa malam dan siang terdapat ayat-ayat Allah yang dapat dilihat oleh ulul-albab”.

Dengan ini bermakna golongan ulul-albab telah dikurniakan oleh Allah hakikat dan ma’rifatulLah .

Oleh: Dr. hj. Jahid Sidek. Ahli Panel Pakar Tasawwuf, JAKIM

___________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare