SALAH satu perkara yang sinonim dengan ikan ialah sisiknya. Sisik ikan berfungsi untuk melindungi haiwan itu daripada ancaman musuh. Namun, pernahkah anda mendengar ikan yang mempunyai bulu pada badannya?

Ikan ini digelar sebagai The Fur-Bearing Trout. Ikan ini merupakan salah satu spesies haiwan air yang unik kerana mempunyai lapisan bulu tebal di bahagian badan kecuali pada kepala dan ekor.

Dipercayai ikan berbulu ini pernah ditemui di kawasan perairan Amerika Utara terutamanya di Kanada, Montana, Wyoming, Colorado, dan Great Lakes. Spesies ini turut dikenali sebagai Beaver Trout atau Salmon Sabled bagi penduduk tempatan.

Namun, ikan jenis ini bukan mudah untuk ditemui. Ia sangat jarang dapat ditangkap, jika ada pun hanya pada musim sejuk sahaja. Dipercayai bulu-bulu yang terdapat pada badan ikan ini berfungsi mengurangkan kesejukan sewaktu ikan ini berenang di perairan yang sejuk.

Ikan berbulu tebal, haiwan air yang unik.

Ikan ini mula menjadi perhatian apabila ditangkap oleh sekumpulan pembalak ketika memancing sekitar tahun 1931.

Kajian juga dilakukan di mana spesies ikan itu dihantar ke makmal pakar zoologi bagi membuktikan kesahihannya. Terdapat pelbagai warna bulu-bulu ikan ini, antaranya warna kelabu terang, hijau muda, coklat gelap, putih dan hitam. Di Kanada, terdapat tiga jenis warna bulu yang berjaya dikesan iaitu hitam, hijau lumut dan kelabu.

Menurut saintis antropologi dari Jepun, Dr. Takeshi Yamada, spesies ikan ini dipercayai memakan serangga-serangga kecil, hidupan krustasia terutamanya udang, haiwan cangkerang seperti siput dan tiram.

Apa yang menarik, ikan ini boleh ditemui di kawasan air tawar dan juga air masin. Spesies yang hidup di air tawar mencatatkan panjang antara 12 hingga 18 inci. Manakala yang hidup di air masin pula sekitar 18 hingga 24 inci.

Dikatakan warna bulu ikan ini berbeza-beza disebabkan oleh faktor makanan dan komponen kimia yang terdapat dalam air tempat ia tinggal. Terdapat beberapa teori mengaitkan bulu yang wujud pada ikan ini.

Antara yang pernah mengemukakan teori mengenai ikan aneh ini ialah James Herbet Hicken. Beliau menjadi individu pertama yang menulis tentang ikan ini pada tahun 1929. Dia mendakwa ikan berbulu ini mempunyai ‘kot’ tebal untuk melindungi diri daripada kesejukan melampau dan mengekalkan suhu badan kerana air tasik dan sungai begitu sejuk.

Teori kedua pula yang kurang mendapat perhatian para saintis ialah terdapatnya tumpahan sisa toksik dan bahan kimia di Sungai Arkansas, Colorado pada awal tahun 1890-an. Dipercayai, tumpahan larutan kimia tersebut merencatkan serta mempengaruhi tumbesaran ikan-ikan ini secara genetik.

Sementara itu, sekitar tahun 1956, penduduk di Kepulauan Azores turut melaporkan menjumpai spesies ikan berbulu tetapi bulunya lebih halus. Dalam laporan tersebut, sampel bulu ikan yang dipanggil Mirapinna ini dihantar kepada saintis untuk dikaji. Hasilnya, bulu pada ikan tidak diklasifikasikan sebagai bulu. Sebaliknya ia seakan-akan rerambut yang dikeluarkan untuk menghalang pemangsa memakan ikan ini.

Sekalipun pelbagai teori yang muncul, namun ikan berbulu ini sentiasa jadi buruan peminat haiwan unik. Disebabkan fizikal uniknya itu, kebanyakan pemburu haram menjualnya di pasaran gelap dengan harga yang tinggi.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram