Benar, kecantikan dan sifat manja boleh mencairkan hati sang lelaki. Namun selama mana ia mampu bertahan dalam melayari bahtera rumahtangga. Kehadiran anak-anak, masalah dan ujian datang bertimpa ada kalanya akan melenyapkan kemesraan.

Rasa cinta mula pudar, keserasian tiba-tiba dirasakan hilang walau selepas 10 tahun usia perkahwinan.

Menurut penceramah motivasi terkenal, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, isteri solehah tidak perlu manja sepanjang masa, namun perlu bijak memikat hati suami dengan kasih sayang.

“Isteri solehah tak perlu manja sepanjang masa, cukup lakukan 10 hal ini untuk pikat hati suami:

1. Temankan suami makan walaupun kamu sudah makan. Ramai suami rasa terbiar dan bersendirian selalu. Amalkan makan bersama suami sambil kamu sendiri boleh lihat dia menikmati juadah dari air tanganmu sendiri.

2. Pandang suami dengan lemah lembut, senyum, kata yang manis, sentuh dengan mesra dan peluk dia semasa pergi dan pulang kerja.

3. Rawat suami dengan penuh kasih sayang semasa dia sakit. Sentuhan dan kata-kata manis mampu bertindak sebagai penawar yang mujarab.

4. Mengalahlah pada suami bagi perkara yang harus. Suami kadangkala rasa kecewa kalau kamu terlalu lantang atau melawan katanya.

5. Tutup diri kamu daripada sebarang lelaki lain. Pastikan menutup aurat dengan sempurna dan jaga batas perbualan dengan bijaksana.

6. Berterima kasihlah dengan suami walaupun hal sekecil-kecilnya.

7. Ramai penghuni neraka adalah dari wanita yang menyumpah seranah dan tidak bersyukur kepada suami mereka. Elak daripada khianat atau sabotaj suami.

8. Kejutkan suami untuk solat tahajud dan isteri juga turut melakukannya bersama-sama. Ia adalah amalan yang dapat mengharmonikan rumahtangga serta menerangkan kubur.

9. Kekalkan sifat malu dalam diri wanita. Wanita yang hilang sifat ini adalah mereka yang hilang martabat dan maruah diri.

10. Bila suami pulang kerja, beri dia rehat 30 minit. Usah terus menerus terjahnya dengan pelbagai soalan. Bawakan air dan beri urutan untuk dirinya tenang dan berehat.

Semoga catatan dan pesan Tok Abah ini, para isteri ambil perhatian dan jalankan tanggungjawab kalian sebaiknya ya.

Selamat malam semua.

Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,

Tak perlu manja, yang penting solehah.”

Sumber : Dato Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah