Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Pengarah Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut berharap semua jabatan termasuk elemen-elemen di bawah KDNKA menjalankan tugas menjaga keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam sewaktu PRU-15.

Menurut beliau, PDRM juga akan menggunakan secara optimum jentera pasukan dengan perancangan yang sistematik bagi memastikan situasi PRU aman.

Pada masa sama, tegas beliau, anggota PDRM juga perlu terus menjalankan tugas hakiki mengekalkan keselamatan dan keamanan negara berjalan dengan baik.

“Seperti mana yang kita sedia maklum, perkhabaran mengenai PRU-15 bakal diadakan pada tarikh yang dikatakan semakin hampir.

“Maka, saya menyandarkan harapan yang tinggi kepada semua pegawai pemerintah dan petugas PRU-15 agar sentiasa mengambil cakna dan memahami tanggungjawab masing-masing serta melengkapkan diri dengan pengetahuan menyeluruh mengenai bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan lain-lain akta berkaitan dalam kita melaksanakan tugas kelak.

Baca artikel berkaitan: Acryl Sani dahului penerima darjah kebesaran Melaka

“Besar harapan saya di bawah Hazani, semua jabatan termasuk elemen di bawah KDNKA selaku jabatan pengoperasian dengan aset dan keanggotaan terbesar menjalankan tugas menjaga keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam khususnya ketika berhadapan dengan PRU-15,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Polis Negara sempena Perhimpunan Bulanan PDRM anjuran Jabatan KDNKA, di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani menegaskan warga PDRM juga perlu menjalan tugas sewaktu PRU-15 dengan profesional demi mengelakkan sebarang implikasi yang mampu mencalar kredibiliti pasukan dan kewibawaan kerajaan.

Jelasnya, beliau juga telah mengeluarkan arahan pada 14 September lalu mengenai usaha memantapkan amalan kesantunan berbahasa dalam penyampaian PDRM yang perlu diberikan perhatian.

“Sebagai pegawai polis, kita perlu bijak mengawal emosi, menjaga tutur kata dan mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi sepanjang kita melaksanakan tugas terutama apabila berhadapan situasi bersifat provokasi.

“Kita juga perlu telus dalam menangani isu-isu yang melibatkan mana-mana parti politik agar PDRM dilihat sebagai sebuah institusi kepolisan yang profesional,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram