PENGARAH Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Dennis Bekking dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu Selangor FC menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Pelantikan Bekking itu diumumkan Selangor FC menerusi akaun media sosialnya.

Bekas Pengarah Akademi FC Twente itu akan bertanggungjawab ke atas hal-hal teknikal melibatkan pasukan pembangunan termasuk Selangor B-23 sehinggalah ke pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Selangor.

Jurulatih berasal dari Belanda itu juga akan bertanggungjawab membangunkan falsafah bola sepak kelab, mengukuhkan jabatan sains sukan, menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan dan pembangunan bakat muda.

Selangor FC dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan bekas pemain Go Ahead Eagles itu disifatkan strategi utama dan selaras dengan aspirasi kelab dalam terus membina asas kukuh untuk masa hadapan.

Menurut Selangor FC, Bekking, 45 menamatkan pengajian dalam pendidikan bola sepak di Akademi KNVB, Belanda dan telah memperoleh beberapa kelayakan seperti Pengajar Jurulatih KNVB, UEFA A dan Pengarah Akademi Pro.

Beliau juga menggenggam segulung ijazah peringkat Sarjana dalam bidang Pengarah Sukan dari Universiti Salford, United Kingdom (UK).

“Beliau bermula di PEC Zwolle sebagai ketua jurulatih untuk beberapa peringkat umur sebelum menjadi Ketua Pembangunan Belia dan Ketua Pencarian bakat.

“Bekking kemudiannya menyertai FC Twente untuk melatih beberapa pasukan peringkat umur sebelum dilantik sebagai Pengarah Akademi kelab tersebut.

Baca artikel berkaitan: Cheng Hoe, ketua jurulatih baharu Selangor FC

“Seterusnya beliau dilantik menjadi Pengarah Sukan di Go Ahead Eagles dan bertanggungjawab ke atas keseluruhan persediaan teknikal kelab sebelum menyertai AMD pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, pengalaman luas dimiliki Bekking di Belanda dan pemahaman baik tentang bola sepak Malaysia akan membantunya mengintegrasikan kaedah bola sepak moden ke dalam kelab tersebut.

“Semangat, komitmen dan personaliti beliau pasti akan membawa perubahan positif dalam mewujudkan budaya serta persekitaran berprestasi tinggi dalam kalangan pasukan pembangunan Selangor FC,” jelas beliau.

Sementara itu, Bekking melahirkan rasa teruja untuk memulakan peranan baharunya di Selangor FC.

“Selangor FC telah berjaya mengenal pasti dan merekrut ramai bakat muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia tidak berhenti di situ.

“Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini, ia telah menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari bawah 18 hingga ke pasukan utama.

“Saya bersedia meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan kakitangan di Selangor FC,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram