“Nak tanya ibu bapa seluruh Malaysia. Pernah tak anda semua bawa anak-anak kecil naik kapal terbang dan mereka gementar dalam perjalanan di udara?”

Demikian kata selebriti Nur Fazura yang bertanyakan soalan dan pendapat daripada warganet mengenai pengalaman pahit yang terpaksa dihadapinya berikutan anak saudaranya yang juga seorang kanak-kanak autistik telah diherdik oleh seorang penumpang di dalam pesawat.

“Anak-anak kecil macam Fatima baru nak masuk dua tahun. Sepupu Fatima pula anak syurga, autistik.

“Apa perasaan anda jika ada penumpang wanita lain mengherdik ‘jika anda tidak boleh kawal anak-anak, mereka tidak sepatutnya terbang!’, sambil menunjuk-nunjuk jari ke arah anak anda?

“Semoga Allah SWT memberikan kesabaran kepada semua ibu bapa terutama para ibu dalam menjaga amanah-NYA,” luahnya di Instagram.

Menerusi hantaran sama, Fazura turut berkongsi gambar percutiannya bersama keluarga di pulau peranginan, Langkawi.

Sementara itu, perkongsian Fazura yang juga isteri kepada aktor Fattah Amin itu turut menerima pelbagai reaksi daripada warganet dan rakan artis.

Rata-rata menempelak tindakan dangkal wanita itu yang sangat biadap kerana tidak mempunyai rasa empati terhadap kanak-kanak istimewa.